X

Kindly register in order to view this article
!

Penang FC sasar kelompok enam terbaik Liga Super

Skuad Penang FC bakal membuat penampilan di pentas Liga Super 2021 selepas muncul juara Liga Premier musim ini. - Foto FB Penang FC
A
A

SKUAD Penang FC (PFC) menyasarkan kedudukan enam pasukan terbaik dalam saingan Liga Super musim depan menerusi pelantikan ketua jurulatih baharu dari Republik Czech, Tomas Trucha.

Ketua Pegawai Eksekutif PFC, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah optimis sasaran itu mampu dicapai skuad Harimau Kumbang yang akan memanfaatkan pengalaman luas jurulatih berusia 49 tahun tersebut yang pernah mengendalikan beberapa pasukan di benua Eropah sebelum ini.

Menurutnya, Trucha yang mempunyai Lesen Kejurulatihan Profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) bersama-sama ketua jurulatih terdahulu, Manzoor Azwira Abd Wahid akan menggalas tugasan memastikan pasukan itu kekal bersaing dalam Liga Super 2022.

"Trucha dijangka tiba di Pulau Pinang hujung bulan ini dan jika dia mampu kekalkan pasukan Penang FC dalam saingan Liga Super pada musim 2022, kita akan lanjutkan kontrak beliau setahun lagi,” katanya.

Skuad Harimau Kumbang layak ke saingan Liga Super 2021 selepas muncul juara Liga Premier musim ini dengan kutipan 26 mata daripada lapan kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Kali terakhir Penang FC beraksi dalam saingan Liga Super pada musim 2017 yang menyaksikan mereka menduduki tangga terakhir daripada 12 pasukan.

Dalam pada itu, Dr Amar berkata, pengurusan PFC akan mengamalkan perbelanjaan berhemat dalam menguruskan pasukan berkenaan pada musim depan susulan penularan pandemik Covid-19 dan menganggarkan perbelanjaan berjumlah sekitar RM12 juta pada tahun depan bagi pasukan Liga Super, Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan Piala Belia (bawah 19 tahun).

"Pada musim 2019, kami menggunakan RM7.2 juta manakala pada musim ini kami hanya menggunakan RM6.8 juta daripada bajet sebenar iaitu RM8 juta (yang diperoleh daripada beberapa pihak)," katanya.

Mengenai persediaan pasukan dalam menghadapi Liga Super 2021, Dr Amar berkata, skuad Harimau Kumbang sudah melengkapkan kuota pemain import, namun masih dalam proses memperkasakan barisan pemain tempatan.

Penang FC mengekalkan khidmat trio import dari Brazil pada musim lepas iaitu Rafael Vitor Santos de Freitas, Endrick dos Santos Parafita dan Anselmo Arruda da Silva.

Pasukan berkenaan turut diperkuatkan dengan kehadiran Sheriddin Boboev dari Tajikistan yang mengisi slot pemain Asia serta pertahanan tengah dari Indonesia, Ryuji Utomo yang mengisi kuota pemain ASEAN. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!