KPT-MASUM-Knights sasar kelompok empat terbaik STL

KPT-MASUM-Knights menyasarkan kelompok empat terbaik saingan STL musim ini.
KPT-MASUM-Knights menyasarkan kelompok empat terbaik saingan STL musim ini.
A
A
A

REGU KPT-MASUM-Knights meletakkan sasaran empat terbaik apabila menyingkap saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2022/23.

Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli berkata, sasaran itu satu cabaran untuk anak buah Ahmad Sufi Mohamed Hashim lebih berdaya saing.

Malah jelas Pekan, biarpun ini penampilan pertama KPT-MASUM-Knights, namun percaya pasukan tersebut mampu memberi saingan kepada pasukan elit.

“Kita bawa diri sebagai 'underdog', pasukan ini masih muda tetapi mereka berjiwa besar. Semua pemain IPT dan kemungkinan kita satu-satunya pasukan tanpa menggunakan khidmat pemain import.

“Saya dan pengurusan pasukan yakin akan berlaku beberapa kejutan. Pemain kita semakin matang dengan persiapan pasukan yang lebih teratur.

"Sekarang terserah kepada para pemain untuk pamer aksi terbaik dalam saingan STL,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Selain sasaran tempat keempat keseluruhan, regu KPT-MASUM-Knights turut menyasarkan untuk layak ke aksi Piala Antara Juara STL nanti

Majlis pelancaran dan pengenalan pasukan KPT-MASUM-Knights berlangsung di UPM, Serdang pada Isnin.

Hadir sama, Pengurus KPT-MASUM-Knights, Dr Hanafiah Ayub dan Ketua Jurulatih KPT-MASUM-Knights, Ahmad Sufi.

Sebagai rekod, saingan STL Liga Premier 2022/2023 bakal berlangsung dari Mei hingga Ogos depan.

Minggu pertama dijadualkan berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar Perak dari 26 hingga 28 Mei.

Spice Arena Pulau Pinang merupakan venue minggu kedua yang berlangsung dari 2 hingga 4 Jun.

Minggu ketiga dari 9 hingga 11 Jun bakal berlangsung di Dewan MBS, Seremban Negeri Sembilan.

Stadium Titiwangsa pula menjadi venue minggu keempat kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun.

Stadium Titiwangsa juga menjadi venue minggu kelima dari 30 Jun hingga 2 Julai, minggu keenam bermula 7 hingga 9 Julai.

Venue sama juga kekal untuk minggu ketujuh bermula 14 hingga 16 Julai diikuti minggu kelapan dari 21 hingga 23 Julai.