Intipati perbualan Noor Farida, Tommy dipersoal

Posting Noor Farida yang dimuatnaik di Facebook miliknya semalam.
Posting Noor Farida yang dimuatnaik di Facebook miliknya semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Intipati perbualan berkaitan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Februari ini antara jurucakap kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan (G25), Datuk Noor Farida Ariffin dengan Peguam Negara, Tommy Thomas menimbulkan persoalan.

Peguam, M Hafiz Zaino Abidin berkata, berdasarkan hantaran di Facebook Noor Farida, ia menimbulkan isu berkaitan integriti dan sikap berkecuali seorang Peguam Negara.

"Jika diikutkan perbualan mengenai isu perbicaraan ini kalau off record (tidak didedahkan kepada umum) tidak menjadi masalah. Tapi bila Noor Farida muatnaik hantaran (intipati perbincangan) ini sedikit sebanyak menimbulkan isu berkenaan integriti dan sikap berkecuali Peguam Negara.

"Sepatutnya pendakwaan terhadap Najib ini adalah satu proses yang telus tanpa ada campur tangan pihak-pihak tidak berkenaan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, Noor Farida memuatnaik gambar bersama Tommy ketika bertemu dalam satu majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina.

Beliau turut berkongsi intipati perbualan mereka berkisarkan kepada perbicaraan Najib yang berdepan dengan 40 pendakwaan berkaitan 1MDB.

Mengulas lanjut, M Hafiz berkata, perkara tersebut boleh dijadikan isu oleh pasukan peguam Najib di mahkamah.

"Situasi ini sama seperti apa yang dibawa oleh pasukan pendakwa ke Mahkamah Persekutuan berkaitan dengan media tidak boleh menerbitkan atau berbincang berkenaan dengan merit kes Najib.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana Tommy dan Noor Farida adalah dua individu yang masing-masing mempunyai kepentingan dalam kes ini.

"Sebagai contoh beliau pernah menyuarakan isu 1MDB sebelum ini dan pada perenggan akhir hantaran itu ada menyatakan, kami berharap (Najib) disabitkan atas semua atau kebanyakan caj," katanya.