Legasi Wan Shamsuddin perlu diteruskan

No Image Caption
A
A
A

SEJAK di bangku sekolah, penulis amat meminati subjek Sejarah berbanding mata pelajaran lain.

Walaupun subjek itu dianggap bosan bagi sesetengah pelajar tetapi bagi penulis, Sejarah merupakan mata pelajaran yang seronok untuk dipelajari.

Melalui sejarah, penulis mengetahui mengenai asal-usul Kedah yang dahulunya dikenali sebagai Kadaram atau Kerajaan Kedah Tua yang menjadi kerajaan awal wujud sejak kurun kedua Sebelum Masihi.

Melalui sejarah, penulis menyedari bahawa Satun di Thailand ataupun dahulunya dikenali sebagai Setul merupakan wilayah asal milik Kedah sebelum menjadi milik negara Gajah Putih itu sebelum tahun 1136.

Penulis pernah berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah, sekali gus bercita-cita untuk menjadi ahli arkeologi ataupun ahli sejarah pada suatu hari.

Bagaimanapun, hajat tidak kesampaian dan rezeki penulis lebih dalam bidang kewartawanan.

Namun, penulis tidak pernah lupa pada minat dalam bidang sejarah hingga dipertemukan dengan Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof beberapa tahun lepas.

Tokoh Sejarah Kedah itu banyak memberikan maklumat kepada penulis mengenai sejarah-sejarah di negeri ini yang tidak banyak diketahui oleh masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, salah faham bahawa Istana Tunku Kudin di Bukit Tinggi yang disangkakan Istana Raja Bersiong.

Malah, penulis berpeluang menjelajahi beberapa tempat sejarah, seperti Genting Pahat yang pernah menjadi pintu masuk penduduk Selatan Thailand ke Kedah berusia ratusan dan monumen sejarah zaman darurat di Stadium Darul Aman yang mungkin kurang diketahui umum sebelum ini.

Penulis juga berpeluang menjejaki beberapa makam seperti Makam Sultan Kedah pertama, Sultan Ad-Mudzaffar Shah I dan Makam Sultan Kedah ke-14, Almarhum Sultan Muhyiddin Mansor Shah.

Jika tanpa usaha memulihara dan memelihara khazanah sejarah seperti yang dilakukan oleh Wan Shamsuddin, mungkin generasi hari ini tidak mengetahui kubur lama terletak bersebelahan rumah penduduk di Kampung Chegar, Jeram dan lain-lain memiliki nilai sejarah yang begitu tinggi.

Bagaimanapun, pada Sabtu penulis dikejutkan dengan pemergian Wan Shamsuddin, 88, di Kedah Medical Centre (KMC) pada pukul 6 petang.

Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, bekas Pengerusi PSMCK itu dipercayai kurang sihat lebih kurang seminggu lepas sebelum dimasukkan ke hospital swasta tersebut.

Walaupun memiliki susuk tubuh kecil, namun daya ingatan Allahyarham amat kuat kerana mampu mengingati sejarah Kedah hingga berusia ratusan tahun.

Rahsianya, Allahyarham menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai rutin harian hingga membolehkan dirinya mampu mengingati banyak kisah-kisah sejarah di Kedah.

Pada penghujung usianya, Allahyarham masih bersemangat untuk mengkaji dan memulihara sejarah apabila bersama kami masuk ke dalam kawasan hutan untuk mengkaji sejarah kota pemerintahan Kedah seperti Kota Bukit Meriam dan Kota Sungai Emas dua tahun lepas.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, legasi yang ditinggalkan Allahyarham sepanjang menerajui PSMCK telah memberikan impak yang besar dalam penerokaan minat terhadap aktiviti pensejarahan dan kebudayaan masyarakat negeri ini.

Sewajarnya legasi Allahyarham diteruskan agar sejarah negeri Kedah terus diketahui oleh generasi akan datang. Jika tidak dapat melahirkan seorang lagi pencinta sejarah seperti Allahyarham, sekurang-kurangnya usaha lebih keras perlu diambil demi mewujudkan generasi yang cintakan sejarah dan memiliki semangat nasionalisme yang tinggi.

Ini kerana Allahyarham pernah bercerita orang kita kebanyakannya tidak lagi menghargai sejarah.

Semoga roh Allahyarham Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusof dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

* Nurul Hidayah Hamid ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara