Banjir di Terengganu catat angka tertinggi seramai 7,927 mangsa

 Keadaan sebuah kediaman yang dinaiki air di Kampung Kuala Ping, Setiu.
Keadaan sebuah kediaman yang dinaiki air di Kampung Kuala Ping, Setiu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir gelombang keempat di Terengganu mencatatkan angka tertinggi dengan seramai 7,927 mangsa dipindahkan ke 47 buah pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 6 petang pada Ahad.

Kesemua mangsa adalah daripada empat daerah yang dilanda banjir iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Setakat ini, daerah Kemaman mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan seramai 7,126 orang daripada 1,636 keluarga dipindahkan ke 28 buah PPS di daerah terbabit.

Daerah Dungun juga mencatatkan peningkatan seramai 693 mangsa banjir daripada 194 keluarga yang ditempatkan di 15 buah PPS.

Dua kanak-kanak berada di kawasan kediaman yang dinaiki air di Kampung Kuala Ping, Setiu.
Dua kanak-kanak berada di kawasan kediaman yang dinaiki air di Kampung Kuala Ping, Setiu.

Daerah Hulu Terengganu pula mencatatkan penurunan mangsa banjir dengan seramai 97 mangsa daripada 23 buah keluarga ditempatkan di tiga buah PPS diikuti Setiu seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan air sungai yang semakin surut dari kawasan pedalaman di daerah Kemaman menuju ke laut menyebabkan beberapa kawasan lain di daerah berkenaan turut dinaiki air.

"Buat masa ini aliran air sudah menunjukkan penurunan turun ke laut dan difahamkan malam ini berlaku air pasang tinggi yang terakhir dalam minggu ini.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini juga menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah mangsa banjir selain faktor lain yang lebih signifikan antaranya pertambahan jumlah ahli keluarga yang didaftarkan di PPS," katanya.