Kecewa pertunangan diputuskan, lelaki tetak ibu tunang

Lokasi kejadian rumah mangsa di Kampung Kuyuh, Pitas pada Sabtu. Gambar kecil: Mangsa ditemui maut selepas ditetak suspek di Kampung Kuyuh, Pitas pada Sabtu.
Lokasi kejadian rumah mangsa di Kampung Kuyuh, Pitas pada Sabtu. Gambar kecil: Mangsa ditemui maut selepas ditetak suspek di Kampung Kuyuh, Pitas pada Sabtu.
A
A
A

PITAS - Kecewa ikatan pertunangan mahu diputuskan, seorang lelaki mengamuk dan bertindak menyerang keluarga tunangnya sehingga menyebabkan seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian di Kampung Kuyuh pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Habibah Abungon, 68, ibu kepada tunang suspek maut di lokasi kejadian manakala seorang lelaki berusia 65 tahun dan tiga lagi wanita berusia 28 hingga 30 tahun cedera di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 19 tahun memaklumkan keluarga bapa saudaranya diserang dan dicederakan oleh tunang sepupunya.

Katanya, susulan laporan itu, pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian dan mendapati mayat terlentang di bahagian dapur serta terdapat kesan darah di lantai manakala mangsa yang lain telah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.

"Punca kejadian dipercayai suspek yang berusia 29 tahun marah terhadap tunangnya yang juga salah seorang mangsa yang dikatakan ingin memutuskan pertunangan.

"Suspek yang datang ke lokasi kejadian mengajak tunangnya balik ke kampungnya di Paitan namun enggan mengikutnya menyebabkan suspek bertindak agresif dan mengamuk," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Izaan berkata, ekoran kejadian itu, suspek bertindak menyerang semua mangsa dengan menggunakan parang.

"Mangsa wanita iaitu ibu kepada tunang suspek maut ditetak menggunakan parang manakala tiga lagi mangsa termasuk tunang suspek cedera di kepala dan tangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Izaan berkata, suspek sedang dikesan dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.