X

Kindly register in order to view this article
!

Polis Johor minta bantuan polis Selangor jejak tiga anggota LTTE

Ayob Khan (tengah) menandatangani plug perasmian ketika merasmikan Bilik Mesyuarat Utama dan Penyampaian Sijil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (e-Census) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak menolak kemungkinan ugutan bunuh daripada Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang diterima pada minggu lalu disebabkan desas-desus LTTE akan dikeluarkan daripada senarai kumpulan pengganas di negara ini.

Menurutnya, ugutan itu dimaklumkan seorang orang awam menerusi panggilan telefon ke pejabatnya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor pada dua minggu lalu.

"Panggilan telefon itu dijawab oleh setiausaha saya. Saya diberitahu panggilan telefon itu daripada orang awam yang memaklumkan tiga anggota LTTE akan datang ke Johor untuk membunuh saya.

"LTTE ini bagi saya bukan isu baharu. Saya tidak akan ambil ringan ugutan itu. Sebagai anggota polis, terima ugutan itu bukan perkara baharu, saya tidak takut dan gentar," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan berhubung ugutan yang diterima itu, pihaknya mendapati tiga anggota LTTE berkenaan berada di Selangor dan merupakan warga tempatan.

"Tiada isu baharu LTTE dan tiada kaitan dengan saya. Saya pun sudah tinggalkan Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas sejak tahun ini (Mac).

"Tak tahulah kenapa isu ini ditimbulkan kembali, kemungkinan ada ura-ura mengatakan LTTE hendak dikeluarkan daripada senarai pengganas Kementerian Dalam Negeri (KDN). Mungkin juga ada pihak yang ambil kesempatan untuk panaskan semula isu LTTE," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ayob Khan terima ugutan bunuh terbaharu

Beliau berkata, pihaknya akan meminta kerjasama daripada IPK Selangor untuk mengesan tiga anggota LTTE itu yang masih berada di Selangor.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Sijil Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dan Perasmian Bilik Mesyuarat Utama IPK Johor.

Kontinjen Johor merupakan kontinjen pertama yang berjaya melaksanakan dan melengkapkan pembancian e-Census 100 peratus melibatkan 12,267 pegawai kanan polis, anggota dan pegawai awam dari 10 jabatan, 13 daerah dan tujuh formasi.

Pada 11 Ogos lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, KDN masih mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Katanya, penyenaraian LTTE sebagai Entiti Yang Ditentukan seperti tertakluk dalam Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Isu LTTE menjadi tumpuan ramai apabila 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diheret ke mahkamah atas tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Bagaimanapun kesemua yang terlibat dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding pada Februari lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!