X

Kindly register in order to view this article
!

Liverpool berpesta gol

Firmino menyumbang dua gol buat Liverpool di Selhurst Park sebentar tadi.
A
A

LIVERPOOL mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Crystal Palace 7-0 di Selhurst Park sebentar tadi.

Masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham Hotspur Khamis lalu, Liverpool tidak menunggu lama untuk merobek gawang Palace apabila Takumi Minamino membuka tirai jaringan The Reds seawal minit ketiga.

Tersentak dengan jaringan awal Liverpool itu, Palace kembali mengatur langkah dengan melancarkan beberapa percubaan, namun kekentalan barisan pertahanan The Reds menafikan hajat tuan rumah memperoleh gol yang dicari-cari.

Menerusi satu serangan balas, Liverpool berjaya memperoleh gol kedua hasil jaringan Sadio Mane pada minit ke-35 sebelum Roberto Firmino menambah gol ketiga The Reds seminit sebelum babak pertama berakhir.

Sebaik babak kedua bersambung, Jordan Handerson menambah tekanan Palace apabila menyumbat gol keempat Liverpool pada minit ke-52 sebelum Firmino mencetak jaringan kedua peribadinya dengan gol kelima pada minit ke-68.

Mohamed Salah yang masuk menggantikan Mane pada pertengahan babak kedua terus membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila menambah dua lagi gol Liverpool, masing-masing pada minit ke-81 dan 84.

Kemenangan ke atas Palace itu menyaksikan Liverpool mengumpul 31 mata - berkelebihan enam mata di depan pencabar terdekatnya, Tottenham Hotspur.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!