Mutasi virus 501.V2 dikesan di Afrika Selatan

Seorang individu melakukan ujian swab di Richmond, Johannesburg. Gambar kecil: Zwelini Mkhize.
Seorang individu melakukan ujian swab di Richmond, Johannesburg. Gambar kecil: Zwelini Mkhize.
A
A
A

JOHANNESBURG - Afrika Selatan telah mengesan jenis koronavirus teruk dan mengalami mutasi yang dapat menjelaskan penularan sangat cepat menjangkiti golongan muda di negara itu.

Semalam, Menteri Kesihatan, Zwelini Mkhize berkata, butiran jenis virus dikenali sebagai 501.V2 itu sudah dihantar ke Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pasukan diketuai oleh Kawazulu-Natal Research Innovation and Sequencing Platform (KRISP) telah menguraikan ratusan sampel virus sejak pandemik itu bermula dan mengenal pasti beberapa jenis baharu melalui sampel yang diperoleh kira-kira dua bulan lalu.

“Ia menyerang kebanyakan pesakit yang lebih muda. Keadaan itu menjelaskan jenis Covid-19 baharu telah mencetuskan gelombang kedua jangkitan di Afrika Selatan,” ujarnya.

Saintis diketuai Tulio de Oliveira itu turut berkongsi laporan mereka bersama komuniti saintifik dan memberi amaran kepada pihak berkuasa kesihatan di United Kingdom (UK) yang juga mengkaji sampel Covid-19 mengalami mutasi yang dipercayai mencetuskan lonjakan kes di London.

Sebelum ini, beberapa jenis Covid-19 yang mengalami mutasi telah dikenal pasti di beberapa benua sejak pandemik itu bermula.

Difahamkan, Afrika Selatan yang berpopulasi hampir 60 juta penduduk adalah negara paling teruk terjejas berbanding negara lain di benua tersebut selepas ia merekodkan lebih 24,800 kematian dan lebih 900,000 kes jangkitan. - Agensi

Artikel Berkaitan: