X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

JPNIN Perak anjur pertandingan perpaduan dalam talian

Abd Hadi (kanan) bersama Dr S Shanmuga Velu dan Azmi Mohd Jelani sempena pelancaran Program Perpaduan Perak 2020 di Dewan Seri Menanti IPG Kampus Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Buat julung kali Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perak menganjurkan pertandingan secara dalam talian sempena Program Perpaduan Perak 2020.

Pengarahnya, Abd Hadi Mohd Salleh berkata, program dengan kerjasama Pertubuhan Aspirasi dan Pembangunan Integrasi Kebangsaan (Nadi) Sungai Siput dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu bagi menggantikan amalan biasa berikutan pandemik Covid-19.

Menurutnya, terdapat enam acara bertemakan perpaduan telah dirangka iaitu pertandingan menghasilkan video, montaj, kuiz, mewarna poster, menulis karangan serta forum khas webinar yang menampilkan tokoh-tokoh akademik tempatan.

"Penyertaan bagi semua pertandingan ini telah dibuka sejak 16 Disember lepas dan keputusan akhir akan diketahui selepas 29 Disember ini.

"Kesemua urusan pendaftaran penyertaan, hasil pertandingan dan hadiah dilakukan secara dalam talian. Peserta hanya perlu mengisi borang secara dalam talian di laman web perpaduan.ipgki.my bagi menyertainya," katanya pada sidang media sempena pelancaran Program Perpaduan Perak 2020 di Dewan Seri Menanti IPG Kampus Ipoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Nadi Sungai Siput merangkap pengarah projek, Dr S Shanmuga Velu dan Ketua Unit Kajian Sosial Jabatan Sains Sosial IPG Kampus Ipoh, Azmi Mohd Jelani.

Abd Hadi berkata, syarat pertandingan kali ini dikhususkan kepada warga Perak dan merangkumi beberapa kategori bermula usia tujuh tahun hingga 25 tahun ke atas.

Katanya, hadiah wang tunai sehingga RM500 disediakan bagi tiga pemenang utama selain tujuh pemenang saguhati, malah setiap peserta akan diberikan e-Sijil sebagai bukti penyertaan.

"Pada ketika ini media sosial memberi pengaruh begitu besar terutama dalam kalangan belia dan pelajar sekolah.

"Jadi, kita harap inisiatif baharu yang dijalankan ini dapat membantu usaha jabatan ke arah menyuntik semangat perpaduan dan pemulihan integrasi di semua peringkat masyarakat," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!