MauTapau servis penghantaran pertama patuh syariah

Siti Ashah (tiga dari kanan) bersama Dr Saidatul Ardeenawatie (dua dari kanan) memotong kek bersempena Majlis Perasmian Servis Penghantar Patuh Syariah Pertama di Malaysia Cawangan Alor Setar di Kompleks Perniagaan Ampang (ABC), Alor Setar pada Sabtu.
Siti Ashah (tiga dari kanan) bersama Dr Saidatul Ardeenawatie (dua dari kanan) memotong kek bersempena Majlis Perasmian Servis Penghantar Patuh Syariah Pertama di Malaysia Cawangan Alor Setar di Kompleks Perniagaan Ampang (ABC), Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - MauTapau Malaysia mengambil inisiatif membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan termasuk orang kurang upaya (OKU) yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 melalui pembukaan cawangan keduanya di Alor Setar yang beroperasi mulai 20 Disember.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Saidatul Ardeenawatie Awang berkata, pihaknya mula membangunkan aplikasi dalam talian patuh syariah dikenali MauTapau sejak wabak Covid-19 melanda Malaysia awal tahun ini dengan cawangan pertama beroperasi di Jitra pada 18 Oktober lepas.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan dalam talian selepas melihat keperluan untuk membantu peniaga yang terjejas akibat penularan virus dan kesukaran penduduk untuk keluar dari rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Susulan itu, kami berusaha membangunkan aplikasi MauTapau bagi menangani masalah dialami peniaga dan pelanggan dan membantu rakyat Kedah khususnya dalam menghadapi normal baharu kehidupan.

"Melalui perkhidmatan dalam talian MauTapau, kami berharap dapat membuka peluang pekerjaan dan menambah pendapatan penduduk yang terjejas akibat penularan wabak itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Servis Penghantar Patuh Syariah Pertama di Malaysia dan Pelepasan Konvoi Penghantar Makanan MauTapau Malaysia Cawangan Alor Setar di Kompleks Perniagaan Ampang (ABC), di sini pada Sabtu.

Menurutnya, setakat ini, mereka memiliki 30 penghantar makanan termasuklah tiga wanita dan 150 rakan niaga yang komited untuk memenuhi keperluan di rumah secara menyeluruh.

Beliau berkata, pihaknya yang akan membuka cawangan terbaharu di Kangar pada 15 Januari depan mengalu-alukan penyertaan lebih ramai penghantar makanan terutamanya wanita untuk menyertai MauTapau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat tiga perkhidmatan disediakan dalam aplikasi MauTapau, iaitu MauMakan dengan menawarkan penghantaran makanan, MauMart (barangan runcit/basah) dan MauUbat (ubat-ubatan).

"Rakan-rakan niaga MauTapau dipilih berdasarkan kriteria patuh syariah bagi memastikan makanan ataupun barangan dihantar kepada pengguna dijamin bersih dan halal.

"Sehubungan itu, pengguna Islam boleh membuat pesanan dalam talian untuk mendapatkan barangan keperluan ataupun makanan dihajatkan mereka tanpa rasa was-was," katanya.

Sementara itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Ihsan dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, beliau memuji inisiatif memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan polisi perniagaan patuh syariah yang dipraktikkan MauTapau Malaysia.

Katanya, usaha berkenaan membolehkan penduduk menjana pendapatan masing-masing, sekali gus mampu meningkatkan ekonomi masyarakat terlibat dalam bidang penyediaan makanan.

Menurutnya, beliau berharap usaha anak muda tempatan membangunkan aplikasi penghantaran makanan tempatan mampu berkembang setanding dengan produk antarabangsa.