X

Kindly register in order to view this article
!

Isu kartel daging haram: Buru, tangkap anggota agensi terlibat

Ayob Khan (kanan) ditemu bual dalam program Sinar Live bertajuk 'Biar diancam, saya tidak gentar!' yang bersiaran secara langsung dari IPK Johor Bahru pada Jumaat. Program dikendalikan Haslina (kiri) selaku moderator.
A
A

JOHOR BAHRU - Anggota atau penguat kuasa agensi yang didapati bersekongkol dengan kartel pemalsuan logo halal terhadap daging import untuk dijual di pasaran Malaysia perlu diburu dan ditangkap.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka tidak boleh terlepas kerana isu tersebut amat besar dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan jika benar ada yang terlibat.

Beliau menegaskan, siasatan tersebut perlu supaya semua rantaian yang terlibat dikenakan hukuman termasuk mereka yang menyebabkan berlakunya ketirisan dalam agensi penguatkuasaan.

"Isu terbaharu di Johor berkenaan kartel yang mencampuradukkan daging tidak halal, kalau ada penglibatan misalnya pegawai kastam atau Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) perlu diambil tindakan tegas.

"Bayangkan benda yang haram dimakan umat Islam. Makanan yang haram dijual di pasaran dan kita orang Islam diberi makanan yang tidak disembelih," katanya menerusi Sinar Live bertajuk 'Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!' yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru, di sini pada Jumaat.

Pada 2 Disember lalu Sinar Harian dalam laporan khasnya mendedahkan Maqis serta Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyerbu sebuah stor di Senai, dekat sini yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport.

Ayob Khan berkata, pendedahan anggota, pegawai dan penguat kuasa dalam kegiatan itu atau bersekongkol dengan mana-mana kegiatan jenayah seperti pelacuran, perjudian, dadah dan penyeludupan manusia perlu dilakukan.

Menurutnya, ada pihak berpendapat keterlibatan mereka dalam kegiatan itu tidak perlu didedahkan kepada umum dan ditangani secara dalaman.

"Ada yang kata jangan buka pekung di dada. Ini bukan isu pekung di dada. Ini fakta dan hakikat, kalau kita tidak akui macam mana kita nak tangani isu rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota kita. Kita perlu akui masalah ini," katanya.

Beliau berkata, dalam menangani masalah tersebut pembersihan secara 'dalaman' perlu dilakukan terlebih dahulu bukan sahaja polis tetapi juga kastam, Maqis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan semua yang berkaitan.

Ujarnya, isu rasuah dalam kalangan anggota, pegawai atau penguat kuasa perlu ditangani dengan tuntas malah sehingga ke akar umbi selain menyifatkan rasuah kini adalah musuh nombor satu negara.

"Bab rasuah ini kita nampak benda lain haram. Arak, babi itu semua haram tapi rasuah tak haram. Kalau kita bertuhankan duit manusia akan hilang kewarasan dan bila kita bertuhankan duit, kita akan sanggup gadaikan kedaulatan negara," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!