Sumber mineral kekal hak negeri Perak

Saarani (berdiri) turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh ADUN ketika sesi penggulungan pada Jumaat.
Saarani (berdiri) turut menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh ADUN ketika sesi penggulungan pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak akan sewenang-wenangnya memberikan hak mutlak kepada kerajaan Persekutuan berkaitan sumber mineral menerusi penubuhan Majlis Mineral Negara (MMN).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sebarang rundingan yang dibuat sebelum ini akan diteruskan, namun ia perlu dipastikan memberi keuntungan kepada negeri.

Menurutnya, segala bentuk perjanjian akan diteliti secara terperinci agar negeri tidak kehilangan hasil kepada kerajaan Persekutuan.

“Saya memahami apa yang tersirat daripada apa yang disebutkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang. Oleh itu, kita akan meneruskan rundingan-rundingan yang telahpun dimulakan sebelum ini supaya terdapat keserasian atas tanggungjawab bersama di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Ini membolehkan win-win situation berlaku di antara kerajaan negeri dan Persekutuan supaya masing-masing mendapat manfaat bersama,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Faizal mencelah ketika sesi penggulungan dengan menyatakan kebimbangan penubuhan MMN yang akan merugikan negeri.

Sementara itu, Saarani berkata, Dasar Mineral Perak diluluskan pada 23 Ogos 2019 sebagai salah satu usaha bagi memantapkan industri mineral di Perak dengan objektif meneraju pembangunan sumber mineral secara mampan dan optimum.

Menurutnya, dasar itu juga bertujuan merangsang pelaburan dalam sektor mineral dengan mewujudkan iklim perniagaan yang kondusif, seterusnya meningkatkan hasil kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan adanya dasar berkenaan kerajaan negeri dapat mengawal ketirisan hasil melalui perundangan dan penguatkuasaan bersepadu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) turut sama mencelah dengan menegaskan bahawa kebimbangan Ahmad Faizal itu merupakan satu perkara penting untuk diberikan perhatian memandangkan tanah dan air merupakan hak mutlak negeri.

Jelasnya, kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat peraturan yang cuba menyekat hak mutlak negeri.

“Dalam soal mineral ini, kita tidak mahu nanti hak di peringkat negeri akan dikesampingkan, maka kita juga perlu belajar daripada cadangan pihak persekutuan sebelum ini yang mahukan hal pengurusan air juga diurus tadbir kerajaan Persekutuan.

“Maka kita telah mengadakan siri perbincangan yang sangat panjang memastikan hak kita tidak tergadai disebabkan perjanjian melibatkan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Isu berkaitan sumber mineral itu juga mendapat perhatian beberapa wakil rakyat lain iaitu Jamilah Zakaria (BN-Trong), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta), Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) dan Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai).

Pada 27 November lalu, kerajaan bersetuju mengaktifkan semula MMN berikutan negara ini kaya dengan sumber mineral semula jadi dan masih ada lagi sumber tersebut yang belum diterokai.

Perluas kutipan sampah PBT di kampung

Pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar akan ditambah baik bagi meningkatkan taraf kebersihan dan kesihatan penduduk.

Saarani berkata, semua sedia maklum bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya menguruskan pengurusan sisa pepejal melibatkan kawasan di bawah pentadbiran mereka.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri bersetuju agar pengurusan sisa pepejal ini tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar tetapi perlu diberi perhatian di kawasan kampung.

“Sehubungan itu, cadangan untuk memperluaskan kawasan tadbir urus sisa pepejal di luar PBT akan diteliti bersama antara PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Antara fokus kerajaan negeri dalam pertimbangan perkara ini ialah laluan keluar masuk lori sampah, penyediaan tapak pembuangan sampah atau rumah sampah dan penyediaan tong sampah di lokasi yang sesuai serta caj perkhidmatan yang akan dikenakan,” katanya.

Saarani berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta pada tahun hadapan sebagai langkah permulaan untuk memperhalusi kaedah dan mekanisma terbaik dalam menguruskan sisa pepejal di kawasan kampung yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, mengenai cadangan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) agar kerajaan negeri melihat semula keperluan pelantikan tiga orang ahli Jawatankuasa Pembangunan dan

Keselamatan Kampung (JPKK) dalam sesebuah kampung, beliau menjelaskan, perkara itu selaras dengan ketetapan pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, setiap JPKK Perak dipengerusikan oleh Penghulu yang bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas selaku ketua organisasi di kampung berkenaan.

“Hala tuju masa hadapan organisasi JPKK ini akan diperkemas, selaras dengan ketetapan lanjut dan persetujuan di peringkat kerajaan negeri kelak,” katanya.

146 tapak pemancar komunikasi baharu dibina

Sebanyak 146 tapak pemancar komunikasi baharu akan dibina di Perak sebagai usaha menambah baik infrastruktur komunikasi melalui penyediaan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Saarani berkata, pelaksanaan itu menerusi pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diumumkan pada 29 Ogos 2020 lalu.

Menurutnya, di bawah pelan sama juga, sebanyak 1,406 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada sedang dinaik taraf seperti yang dirancang.

“Bagi jalur lebar talian tetap pula, lebih 216,000 premis akan dinaik taraf kepada teknologi gentian optik yang akan memberikan capaian Gigabit dan semua inisiatif ini dijangka akan siap secara berperingkat dari tahun 2020 sehingga 2022.

“Segala inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) ketika sesi perbahasan pada Jumaat.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing, satu menara baharu siap dibina, manakala empat alat pemancar telekomunikasi akan dinaik taraf dan sebanyak 1,149 premis akan menerima manfaat daripada naik taraf gentian optik.