Sindiket pelaburan 'AliExchange' dan 'Goldmine International' tumpas

KUALA LUMPUR - Dua sindiket penipuan pelaburan iaitu 'Crytpocurrency AliExchange' dan 'Goldmine International' tumpas selepas polis berjaya memberkas 13 individu secara berasingan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Zainuddin Yaacob berkata, seramai sembilan individu termasuk tiga wanita dan seorang dalang berusia 32 hingga 59 tahun ditahan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
"Kita turut merampas sebanyak 11 telefon bimbit pelbagai jenama, 20 keping kad ATM pelbagai bank, dua keping kad kredit, empat buah tablet, lima buah komputer riba, lima buah kereta mewah serta wang tunai berjumlah RM 109,594," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat (JSJK) Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Zainuddin berkata, modus operandi pelaburan itu adalah menggunakan platform dagang mata wang kyrpto yang dikenali sebagai Ali Coin.