Proton ada nilai sentimental: Karamjit

Pengarah Eksekutif Syarikat DCJ Capital Sdn Bhd, Datuk Daniel Yee (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM10,000 kepada Karamjit (kanan) di Cheras hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Eksekutif Syarikat DCJ Capital Sdn Bhd, Datuk Daniel Yee (tengah) menyerahkan replika cek sumbangan bernilai RM10,000 kepada Karamjit (kanan) di Cheras hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MEMPUNYAI nilai sentimental tinggi dan meraih pelbagai pencapaian cemerlang bersama Proton, menjadikan jenama kereta nasional itu sebagai pilihan utama buat pelumba rali legenda negara, Karamjit Singh untuk beraksi semula di pentas permotoran.

Pelumba berusia 58 tahun yang dikenali dengan julukan Flying Sikh itu berjaya mendominasi kejuaraan rali di Malaysia pada era 1990-an dan seterusnya menjadi juara pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) 2001 dengan menggunakan kereta jenama Proton.

“Secara peribadi, saya memang suka memandu Proton sebab sudah menggunakannya lebih 20 tahun dan ia mempunyai nilai sentimental kepada saya,” katanya kepada media pada majlis penyerahan tajaan daripada sebuah syarikat pelaburan.

Sebelum ini, Karamjit pernah menyatakan hasrat untuk beraksi semula pada saingan APRC 2021 yang dijangka bermula Mac depan dengan menggunakan jentera Proton Iriz R5 yang sudah siap dibina di England oleh Mellors Elliot Motorsport.

Bagaimanapun, Karamjit tidak menolak kemungkinan akan menggunakan jentera import seperti Mazda atau Toyota ekoran perbincangan dengan pengeluar kereta untuk mencari penaja jentera masih diteruskan.

“Ketika ini masih lagi dalam perbincangan dengan semua pengeluar tapi mungkin bukan (memandu) Proton Iriz. Mungkin Toyota atau Mazda. Proses perbincangan masih berterusan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Karamjit menerima suntikan dana sebanyak RM10,000 daripada syarikat pelaburan tersebut untuk kegunaan baik pulih kereta Proton Gen 2 yang akan digunakan pada perlumbaan Terengganu Sprint Rally 2021 pada 26 Februari depan.

Sumbangan itu sekali gus membuka peluang kepada Karamjit untuk beraksi semula dalam perlumbaan rali selepas kali terakhir dia menggegar litar rali tempatan adalah pada 2018 manakala di pentas APRC pada 2012.

Artikel Berkaitan:

“Memang saya perlukan lebih dana lagi tapi untuk permulaan, saya sudah boleh gunakan wang itu untuk buat persediaan kereta. Kalau ikutkan saya perlu lebih kurang RM40,000 untuk ganti tayar, betulkan kotak gear dan sebagainya,” jelasnya. - Bernama