PRU 15: Tindakan UMNO boleh beri kemenangan kepada PH

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah UMNO memberikan laluan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) bertanding di kerusi yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan di kerusi lompat bakal memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 kelak.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, ramalan tersebut bukanlah dibuat tanpa asas yang kukuh tetapi sebaliknya ia dilakukan hasil daripada perkiraan serta kajian yang telah dijalankan oleh partinya.

Jelasnya, beliau mendapati separuh daripada pengundi Bersatu dan ahli Parlimen PH yang melompat parti iaitu lebih kurang 40 kerusi adalah terdiri daripada undi bukan Melayu iaitu masyarakat Cina dan India.

“Saya kata begini sebab bukan kerana kita tamak kerusi dan sebagainya tetapi kerana kita nak menang PRU15 dan kita nak menewaskan PH.

“Saya kira daripada kerusi semasa Bersatu di Semenanjung, mereka dapat 300,000 undi dan daripada keseluruhan jumlah tersebut, undi daripada kaum Cina dan India adalah lebih 160,000.

“Sekarang, tiada siapa yang akan kata Cina dan India yang undi mereka sebelum ini akan undi dia balik sebab pengundi anggap mereka ini sebagai pengkhianat. Jadinya, mereka dah hilang separuh daripada undi-undi tersebut,” katanya dalam satu temuramah di portal The Malaysian Insight pada Rabu.

Mengulas lanjut, Isham menjelaskan apa yang lebih membimbangkan ialah apabila terdapat pengundi akar umbi UMNO yang tawar hati untuk menyatakan sokongan kepada Bersatu lalu menyebabkan mereka hanya memperoleh sokongan daripada pengundi Pas.

Menurutnya, senario tersebut akan memberikan masalah kepada gabungan yang bakal dibentuk pada PRU15 itu nanti kerana undi daripada Pas sahaja tidak memungkinkan mereka untuk memenangi kerusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Jadinya sekarang pengundi yang merangkumi akar umbi UMNO dan pengundi terdahulu pun tak akan undi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkara faktor utama yang perlu diambil kira dalam pembahagian kerusi tidak hanya terhad kepada persoalan mengenai penyatuan ummah mahupun bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

“Kadang-kadang kalau kita ada dua penjuru untuk tempat macam ini, ia akan menjadi masalah kepada kita sebab katakanlah kita tak bertanding di tempat itu dan kita letak wakil Bersatu, ia akan menjadikan orang undi dia sebelum ini tak undi dia lagi dan orang kita UMNO sama manakala Cina dan India pun tak undi dia. Jadi, PH akan menang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya mana-mana individu yang mencadangkan supaya UMNO memberikan kerusi secara percuma kepada PPBM supaya menilai kembali keperluan tersebut daripada segi perinciannya.

Katanya, sebarang kesilapan dalam perkara berkenaan bakal memberikan peluang kepada PH untuk menang pada PRU15.

Pada masa sama, beliau turut membidas dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa UMNO menentang usaha penyatuan ummah yang dijalankan oleh parti-parti yang berasaskan kaum Melayu dan Islam.

Jelasnya, UMNO perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh bersikap naif ketika menjalankan kerjasama politik bagi mengelakkan sebarang kesan negatif kepada parti mereka.

“Kita bukan anti penyatuan ummah tetapi kita anti kepada pengkhianat sebenarnya.

“Kalau kita lihat masa zaman Rasulullah SAW pun, kita tidak disuruh untuk bersatu dengan siapa-siapa sahaja. Jadi, kita kena tengok sebab macam orang nak masuk dan meruntuhkan parti. Kita tidak boleh jadi naif di situ dan kena berhati-hati,” katanya.