Lima ditahan disyaki terlibat pemalsuan sijil cuti sakit

Sijil cuti sakit yang dikeluarkan sindiket tersebut.
Sijil cuti sakit yang dikeluarkan sindiket tersebut.
A
A
A

GOMBAK - Lima suspek termasuk tiga wanita tempatan berusia 23 tahun hingga 53 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam pemalsuan sijil cuti sakit menggunakan alamat sebuah klinik swasta di Kundang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, laporan dibuat oleh doktor klinik swasta tersebut selepas dihubungi sebuah syarikat swasta di Puchong bagi mengesahkan keaslian satu sijil cuti sakit pekerjanya yang dikeluarkan oleh klinik itu.

Menurutnya, semakan terhadap sijil cuti sakit tersebut mendapati tiada rekod sebelum pengadu diberikan salinan sijil tersebut yang disahkan adalah palsu.

"Pengadu kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada sijil cuti sakit itu bagi mendapatkan maklumat sebenar dan dijawab seorang lelaki tempatan.

"Lelaki terbabit telah menawarkan RM5,000 kepada pengadu supaya tidak memperbesarkan isu tersebut, namun tawaran itu ditolak oleh pengadu yang bertindak membuat laporan polis, Sabtu lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah menahan lima warga tempatan di sekitar Gombak dan Sungai Buloh yang disyaki terlibat dalam pemalsuan sijil cuti sakit tersebut.

"Turut dirampas dua unit komputer dan dua unit mesin pencetak atau mesin pengimbas berserta sijil cuti sakit palsu (mastercopy) yang digunakan untuk mencetak sijil cuti sakit terbabit.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sejak Ahad lalu untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau.