Jabatan Perikanan ambil tindakan kegiatan kutip anak kerang

Laporan Sinar Harian mengenai kegiatan pencerobohan kawasan pembenihan kerang di Sekinchan.
Laporan Sinar Harian mengenai kegiatan pencerobohan kawasan pembenihan kerang di Sekinchan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Perikanan Selangor mengakui ada menerima aduan berkaitan pengutipan anak kerang semula jadi tanpa kebenaran di pesisir pantai Sungai Leman, Sekinchan dan Sungai Nipah.

Pengarahnya, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, pihaknya akan meminta kerjasama daripada agensi penguat kuasa lain seperti Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta polis untuk membanteras kegiatan terbabit.

Menurutnya, pemantauan pihaknya mendapati aktiviti mengutip anak kerang secara semula jadi sekarang adalah berukuran kurang daripada empat milimeter (mm) iaitu sama seperti saiz garam halus.

"Syarat membuka lesen mengutip benih kerang adalah selepas persampelan dijalankan di kawasan kenaikan benih oleh Pejabat Perikanan Daerah Sabak Bernam.

"Kerang yang boleh dinaikkan setelah mencapai saiz 4mm sehingga 25mm dengan jumlah 500 biji ke atas bagi setiap lokasi persampelan di kawasan yang dilaporkan berlaku kewujudan benih kerang," katanya.

Tegas beliau, pihaknya akan terus memantau keadaan ini dengan lebih kerap bagi memastikan benih kerang semula jadi ini dikutip secara sewajarnya, mampan dan untuk manfaat penternak setempat.

"Mengikut senario sebelum ini dari 2008 sehingga 2019, kenaikan benih kerang di kawasan Sungai Leman dalam kuantiti yang amat sedikit dan tidak dapat membuka lesen.

"Bagaimanapun pada tahun ini, didapati benih kerang telah naik dalam kuantiti yang banyak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kawasan pembenihan kerang terancam

Artikel Berkaitan:

Justeru, tegasnya, mana-mana individu melakukan kesalahan itu mereka boleh diambil tindakan mengikut Peraturan 3, Larangan Mengambil Apa-Apa Anak Kerang di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.

"Mana-mana individu yang ditangkap dan didapati bersalah mengambil anak kerang daripada kawasan semula jadi atau tapak kultur boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perikatan digesa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap puluhan bot nelayan menceroboh kawasan pembenihan kerang yang dilakukan secara haram di sekitar kawasan pesisir pantai Sungai Leman di sini sejak dua minggu lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, beliau yang turut meninjau kawasan pesisir pantai itu menerima banyak rungutan daripada nelayan yang mendakwa kebanyakan bot tidak dikenali menggunakan peralatan tangkapan moden di kawasan pembenihan kerang.