Kawasan pembenihan kerang terancam

Terdapat bot melakukan pencerobohan haram terhadap pembenihan kerang di kawasan Sungai Leman, Sekinchan hari ini.
Terdapat bot melakukan pencerobohan haram terhadap pembenihan kerang di kawasan Sungai Leman, Sekinchan hari ini.
A
A
A

SEKINCHAN - Jabatan Perikanan digesa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera terhadap puluhan bot nelayan didakwa menceroboh kawasan pembenihan kerang di sekitar kawasan pesisir pantai Sungai Leman di sini sejak dua minggu lalu.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, beliau yang turut meninjau kawasan pesisir pantai itu menerima banyak rungutan daripada nelayan yang mendakwa kebanyakan bot tidak dikenali menggunakan peralatan tangkapan moden di kawasan pembenihan kerang.

Menurutnya, penggunaan penangkapan moden itu tentunya merosakkan dasar laut selain mengancam serta mencemarkan kawasan itu tanpa mengira waktu siang dan malam

"Saya dimaklumkan hampir 80 bot haram ini muncul di pesisir pantai ini untuk menjalankan aktiviti mengutip benih kerang secara berleluasa," katanya menerusi Facebook Live hari ini.

Jamal berkata, benih kerang yang ditangkap itu akan dikumpulkan di jeti nelayan untuk dijual kepada pemborong yang kemudiannya menjualnya ke Thailand.

"Masalah ini berlaku setiap tahun apabila musim pembenihan kerang di kawasan ini.

"Hairannya, aktiviti ini dilakukan secara berleluasa dan kita mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu Jamal berkata, kegiatan itu sekiranya tidak dibanteras, ia bukan hanya menjejaskan sumber pendapatan nelayan dan bekalan untuk pengguna, malah menyebabkan harganya meningkat mendadak di pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan harga kerang di pasaran terlalu tinggi hingga melambung RM10 hingga RM12 sekilogram, malah jika saiznya besar mungkin sehingga RM16 sekilogram," katanya.

Sinar Harian sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Perikanan Selangor berhubung perkara ini.