Dilema Anwar tawan Putrajaya

Anwar
Anwar
A
A
A

TANGGAL 15 Disember lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi berdepan ujian getir menentukan keabsahan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hal ini berikutan dua figura politik terkemuka negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dalam satu sidang akhbar meramalkan kerajaan PN yang baru terbina sejak sembilan bulan lalu, bakal tumbang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, melalui proses pengundian bacaan ketiga usul Belanjawan 2021 yang berjaya diluluskan pada sidang Dewan Rakyat dengan majoriti tipis 111-108, Muhyiddin akhirnya terselamat daripada ‘serangan terakhir’ pihak pembangkang.

Kejayaan PN menangkis serangan bertali-arus sejak pengundian tiga bacaan usul Belanjawan 2021 bagaimanapun tidak memberi petanda jelas bahawa kerajaan pakatan terdiri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas itu benar-benar stabil.

Peringatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa UMNO masih boleh melakukan ‘sesuatu’ sekiranya isu pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium automatik tidak dipenuhi kerajaan PN, sebenarnya satu isyarat jelas sokongan diberikan kepada Muhyiddin masih bersyarat.

Di sebalik kerapuhan kerajaan PN, bagaimanapun teka-teki mengenai peluang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan blok pembangkang untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang didakwa dirampas PN, lebih menjadi persoalan utama.

Ini kerana proses pengundian usul Belanjawan 2021 boleh dianggap peluang terakhir Anwar dan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan PN mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain penyerahan sokongan akaun bersumpah (SD) atau pilihan raya.

Justeru, dalam keadaan politik tidak menentu dan pandemik Covid-19 semakin membarah menyukarkan proses pilihan raya diadakan, masih ada harapan lagikah kepada Anwar untuk mencapai cita-cita politik beliau menjadi Perdana Menteri?

Artikel Berkaitan:

Penjajaran politik

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpandangan pada saat ini, semua parti sedang melalui proses mencari satu ketetapan dengan masing-masing memikirkan usaha penjajaran semula koalisi.

Ahmad Atory
Ahmad Atory

Menurutnya, kedua-dua blok, sama ada kerajaan dan pembangkang, dilihat sukar kekal dalam status quo sedia ada dengan masing-masing lebih berkeyakinan memenangi pilihan raya akan datang melalui proses penjajaran koalisi baharu.

“Bagaimanapun, harus diingat, sekiranya proses penjajaran baharu politik dilaksanakan hanya sekadar meraih 112 atau 113 kerusi Parlimen, lebih baik kerajaan sedia ada dikekalkan sahaja.

“Bagi saya penjajaran baharu politik haruslah dengan keyakinan koalisi baharu politik akan meraih jumlah majoriti kerusi Parlimen yang lebih kukuh dan stabil. Jika tidak, lebih baik rakyat menunggu sehingga habis penggal sedia ada untuk mengundi pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengenai peluang Anwar untuk menawan Putrajaya, Ahmad Atory mengakui spekulasi kerjasama politik antara segelintir pemimpin UMNO dan Ahli Parlimen Port Dickson itu berkemungkinan wujud.

Bagaimanapun, dalam konteks UMNO sendiri berdepan dilema dalam mengekalkan pendirian ‘No Anwar, No DAP’, kerjasama parti terbesar orang Melayu dengan Anwar yang sentiasa dibayangi DAP, dilihat sangat berisiko.

Anwar perlu memikirkan percaturan terbaik untuk menawan Putrajaya sama ada menerusi koalisi bersama UMNO atau menanti sehingga PRU15.
Anwar perlu memikirkan percaturan terbaik untuk menawan Putrajaya sama ada menerusi koalisi bersama UMNO atau menanti sehingga PRU15.

“Saya lihat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Najib sudah mula bersedia menyokong Anwar. Ini berdasarkan dakwaan sokongan SD terbaharu diterima Anwar.

“Namun dalam konteks politik semasa, UMNO sendiri bimbang akan diboikot pengundi Melayu sekiranya sokongan itu diterjemahkan secara terbuka.

“Lebih rumit, UMNO kini terbahagi dua puak... satu boleh terima UMNO, satu lagi tidak boleh. Justeru, peluang Anwar untuk mendapat sokongan tambahan daripada ahli Parlimen UMNO amat sukar,” katanya.

Justeru, Ahmad Atory mencadangkan Anwar bersikap terbuka untuk mengkaji semula kerjasama parti beliau dengan DAP kerana langkah itu dilihat paling efektif bagi beliau meraih semula sokongan orang Melayu.

“Anwar kalau tidak lagi bersama DAP, saya yakin beliau boleh jadi Perdana Menteri. Silap-silap Tan Sri Muhyiddin sendiri akan sokong beliau. Anwar kali ini perlu benar-benar menyebelahi kepentingan orang Melayu jika mahu diangkat sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Pada saat kerjasama UMNO-Anwar dilihat semakin sukar direalisasikan, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman sebaliknya menggesa UMNO untuk berani membuat perubahan dan bersedia bekerjasama dengan PKR bagi membentuk kerajaan baharu.

Syed Badli Shah
Syed Badli Shah

Menyifatkan UMNO tidak wajar tunduk kepada Muhyiddin, beliau juga mempersoalkan pendirian parti itu yang dilihat berterusan mahu bernaung di bawah kerajaan PN yang tidak stabil.

“Sebahagian besar kerusi Bersatu datangnya daripada UMNO dan PKR, jadi di mana kekuatan Bersatu sebenarnya?

“Sekiranya UMNO bimbang mengenai penerimaan rakyat, saya berpendapat rakyat lebih mengetahui bahawa mandat sebenarnya diberikan mereka kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

“Saya tidak menolak kemungkinan UMNO masih boleh bersama kita pada masa hadapan. Kena ingat proses mengembalikan mandat rakyat melalui sokongan SD masih berlangsung dan boleh direalisasikan bila-bila masa,” katanya.

Syed Badli bagaimanapun menolak tanggapan Anwar semakin hilang pengaruh dalam koalisi pembangkang apabila angka undi 108 diperoleh blok itu sewaktu usul Belanjawan 2021 adalah tertinggi dalam sejarah.

“Ditambah kegagalan kerajaan Muhyiddin mencapai keabsahan sokongan 112 undi ahli Parlimen walaupun selepas melalui 29 kali pusingan undi, senario itu membuktikan kepimpinan Anwar diakui semua parti dalam pembangkang.

“Cuma saya fikir sekiranya pembangkang mahukan perubahan kerajaan, blok itu tidak mampu merealisasikannya tanpa sokongan blok kerajaan iaitu daripada UMNO,” katanya.

Pandangan berbeza pula dilontarkan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago daripada DAP apabila menegaskan semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang asal masih menaruh kepercayaan kepada Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Tidak kuat

Menurutnya, tuntutan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menukar Anwar daripada jawatan Ketua Pembangkang dilihat tidak berasas dengan gabungan parti itu bersama parti Pejuang diterajui Dr Mahathir hanya mewakili 11 kerusi Parlimen, tidak kuat menerajui blok pembangkang.

Charles Santiago
Charles Santiago

“Apabila ada pihak menggesa Anwar perlu letak jawatan sebab gagal menumbangkan kerajaan melalui proses pengundian usul Belanjawan, saya berpandangan isu itu kompleks.

“Ramai orang tidak faham banyak perkara terjejas termasuk perbelanjaan gaji penjawat awam dan bantuan rakyat tidak dapat disalurkan sekiranya usul Belanjawan 2021 tidak diluluskan.

“Bila saya bincang dengan orang UMNO, mereka memahami dilema itu dan meskipun ada tidak suka Bersatu, mereka terpaksa meluluskan usul Belanjawan demi kebajikan rakyat,” katanya.

Santiago bagaimanapun enggan mengulas lanjut desas-desus Anwar bakal bekerjasama dengan sebahagian ahli Parlimen UMNO untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

“Bagi saya, isu SD ini jelas digunakan UMNO untuk mengugut Bersatu, lebih-lebih lagi mereka kini sedang berbincang isu pembahagian kerusi pilihan raya.

“Saya lebih memilih kita (PH) tumpu pada persediaan PRU15 kerana isu SD hanya mengalihkan perhatian kita kepada objektif sebenar,” katanya.