PKP: KKM terima lebih 43,000 panggilan berkaitan psikososial

Dr Adham Baba. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Adham Baba. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 43,000 panggilan diterima menerusi talian bantuan sokongan psikososial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 1 Disember lepas, membabitkan pelbagai isu berkaitan emosi berikutan tekanan yang dihadapi akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkhidmatan yang dilaksanakan bersama Mercy Malaysia sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bertujuan membantu masyarakat termasuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak orang kurang upaya (OKU) dalam mengurus kesihatan mental.

"Perkhidmatan kaunseling melalui telefon ini diberikan oleh pasukan yang terdiri daripada pegawai psikologi kaunseling terlatih termasuklah bantuan 'psychological first aid' untuk membantu mereka yang memerlukan. Antara masalah yang kerap diadukan termasuk hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan dan konflik kekeluargaan selain masalah hubungan," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Ras Adiba Mohd Radzi yang meminta penjelasan berhubung usaha kementerian dalam mengatasi masalah psikologi dan mental ibu bapa, khususnya mereka yang mempunyai anak-anak OKU pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, kementerian itu turut melaksanakan pelbagai usaha lain dalam memberi bantuan sokongan psikososial kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU antaranya mewujudkan pasukan kesihatan mental dan sokongan psikososial di setiap daerah, selain membangunkan bahan-bahan pendidikan kesihatan mental dan 'psychoeducation'.

"Perkhidmatan kesihatan (medical outreach) turut diberikan kepada OKU dan penjaga untuk hadir ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) selain ahli jawatankuasa bagi setiap PDK turut berperanan memberi khidmat nasihat, bimbingan dan kepakaran kepada OKU dan penjaga, merangkumi kesihatan mental," katanya.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan Talian Kasih 15999 dan Talian Khas Kaunseling Covid-19 menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai inisiatif untuk memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada di tahap yang stabil. - Bernama

Artikel Berkaitan: