Dua staf LRT laluan Kelana Jaya positif Covid-19

Kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan dalam tren dilakukan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi. - Foto Facebook Rapid KL
Kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan dalam tren dilakukan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi. - Foto Facebook Rapid KL
A
A
A

SHAH ALAM - Dua kakitangan operasi Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan kini dikuarantin untuk menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Rapid Rail dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kedua-dua kakitangan itu yang bertugas sebagai pegawai stesen bertugas buat kali terakhir pada 12 Disember dan 13 Disember lalu.

Bagaimanapun menurutnya, insiden itu adalah di kawasan yang tertutup dan berdasarkan siasatan, kedua-dua kakitangan tersebut tiada kontak dengan penumpang.

“Lanjutan daripada pengesahan itu, pihak pengurusan Rapid Rail yang menjadi operator LRT Laluan Kelana Jaya telah melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembersihan tempat kerja staf-staf berkenaan malam tadi (pada Selasa) berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua kakitangan lain yang mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua staf berkenaan juga diarahkan menjalani ujian saringan serta menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) KKM.

Katanya, tren-tren sememangnya ditetapkan untuk menjalani kerja-kerja pembasmian kuman dan pembersihan setiap hari semasa waktu puncak dan selepas operasi pada hari berkenaan.

"Kami memberi jaminan bahawa perkhidmatan LRT Kelana Jaya dan rangkaian-rangkaian rel lain kendalian Rapid Rail adalah selamat.

“Pihak pengurusan dan staf Prasarana khususnya di Rapid Rail serta Rapid Bas telah dilatih untuk menerapkan piawaian dan protokol tertinggi untuk kebersihan serta sanitasi berkaitan Covid-19 selaras dengan garis panduan keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan oleh KKM bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan sama turut mengingatkan para pengguna agar sentiasa mematuhi dengan rapi SOP yang ditetapkan khususnya pemakaian pelitup muka dengan kemas sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.

“Langkah-langkah ini adalah penting untuk kita bersama-sama memutuskan rantaian penularan Covid-19 di samping memudahkan KKM membuat pengesanan semula sekiranya ada kes positif wabak itu.

"Rapid Rail amat komited menjalankan langkah-langkah yang dapat melindungi kesihatan dan keselamatan penumpang dan juga staf,” katanya.