X

Kindly register in order to view this article
!

Presiden SAS, dua lagi kekal bebas tuduhan

A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS) dan dua lagi kekal bebas atas pertuduhan bersubahat menerbit dan menawarkan 6.9 juta unit saham syarikat tanpa prospektus yang didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).

Ini berikutan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Presiden SAS yang juga bekas Pengarah Astana Resources Berhad, Datuk Abdul Malek Yusof, 44, seorang lagi bekas pengarahnya, Noor Aida Abdullah, 44, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Samsul Bahri Raja Muhammad, 49, daripada semua pertuduhan berkenaan.

Azhar berkata, selepas mempertimbangkan hujahan lisan dan bertulis kedua-dua belah pihak, beliau mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen mens rea dalam kes ini.

“Selain itu, mahkamah juga bersetuju dengan dapatan Hakim Mahkamah Sesyen bahawa ketiga-tiga responden telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.

“Tiada keperluan untuk mahkamah ini untuk mengganggu keputusan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen. Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan pemohon (pendakwaan) dan keputusan hakim Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan ketiga-tiga responden kekal,” katanya.

Ketiga-tiga responden yang berada dalam kandang tertuduh dilihat menghela nafas lega selepas mendengar keputusan yang dibacakan hakim.

Abdul Malek yang merupakan bekas pengarah Astana Resources Berhad (dahulunya dikenali sebagai JPG Holdings Berhad) didakwa telah bersubahat dengan syarikat itu dengan menerbitkan 4,887,650 unit saham syarikat itu tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh SSM.

Sementara itu, Noor Aida dan Raja Samsul Bahari yang masing-masing merupakan bekas pengarah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astana Resources Berhad, didakwa telah bersubahat dengan syarikat itu menawarkan 6,951,921 unit saham syarikat tersebut tanpa suatu prospektus yang didaftarkan oleh SSM.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Astana Resources Berhad, di Tingkat Satu, Jalan USJ 21/3, Subang Jaya, Selangor, antara 30 April 2010 dan 19 November 2012 mengikut Seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 232(1) dan Seksyen 232(7) akta sama yang membawa hukuman denda RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Zul'Aida Zulkifli mewakili pemohon manakala ketiga-tiga responden diwakili peguam Datuk Chong Loong Men.

Perbicaraan bermula 4 Januari 2017 dan berakhir 30 Ogos 2019 itu mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

-Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!