Hasrat Warisan tidak beri impak di Semenanjung Malaysia

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung tidak memberi impak yang besar kepada rakyat dan parti politik di Semenanjung.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, umum mengetahui Warisan di Sabah 'menjual' modal politik kenegerian dan cenderung kepada pendekatan politik yang anti Semenanjung.

Menurutnya, dasar Warisan juga menetapkan parti itu adalah 'Sabah untuk Sabah' walaupun sebagai satu negara sebenarnya tidak perlu ada sempadan negeri dalam isu-isu pentadbiran Persekutuan.

"Saya tidak nampak Warisan memberikan impak kepada orang Semenanjung dan mereka kena faham parti-parti di Malaysia tidak bersifat kenegerian.

"Malah parti-parti yang ada di Semenanjung juga tidak membezakan di antara Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri lain yang terdapat di Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Warisan dilaporkan akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung dalam usaha mengukuhkan parti itu termasuk sama-sama terlibat dalam pembuat keputusan dan pentadbiran Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilaporkan media berkata, sudah sampai masanya Warisan melebarkan ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut merupakan hala tuju ke hadapan Warisan selain yakin moto 'unity' atau perpaduan yang dibawa oleh parti itu boleh diterima rakyat Semenanjung.

Artikel Berkaitan: