Dua kluster baharu Covid-19 dikesan melibatkan tempat kerja

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu jangkitan Covid-19 yang kesemuanya melibatkan tempat kerja di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama iaitu Kluster Solar Ria melibatkan daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor dengan kes indeks telah dilaporkan positif pada 7 Disember hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

"Sehingga 14 Disember, sejumlah 2,339 individu telah disaring di mana 25 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini yang melibatkan sembilan warganegara dan 16 bukan warganegara," katanya dalam sidang akhbar perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua ialah Kluster Senu Setia melibatkan daerah Kepong, Kuala Lumpur dengan kes indeks telah dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Disember juga hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

"Sehingga 14 Disember, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif Covid-19. Kesemua kes dalam kluster ini merupakan bukan warganegara," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, sebanyak 418 kluster dilaporkan termasuk dua kluster baharu hari ini.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 227 termasuk dua kluster yang tamat hari ini iaitu Kluster Benteng LD di Sabah dan Kluster Greenhill di Sarawak.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 191 dan daripada jumlah itu, 46 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram sebanyak 220 kes, Kluster Tapak Bina Muda (143 kes) dan Kluster Teratai (81 kes)," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

2 kluster ditamatkan hari ini menjadikan jumlah kluster ditamatkan meningkat kepada 227.

Kluster Benteng LD merupakan kluster yang dikesan sebelum gelombang ketiga berlaku dan ia merupakan kluster terbesar di Sabah. pic.twitter.com/2kh1oPEis4

— KKMalaysia (@KKMPutrajaya) December 14, 2020