X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Kucing mati tersepit dipercayai akibat perbuatan khianat

Kucing yang ditemui mati tersepit dalam keadaan menyayat hati di sebuah bank di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Seekor kucing ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila tersepit di pintu 'roller shutter' sebuah bank di Taman Tampoi Utama di sini hari ini.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian itu disedari orang awam pada jam 3 pagi sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada mereka.

Menurut kenyataan itu, kucing berkenaan mati tersepit di pintu 'roller shutter' sebuah bilik dalam bank tersebut yang menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Kita percaya ini adalah angkara perbuatan khianat. Kematian kucing itu seperti sengaja dilakukan dengan cara menahan kucing sewaktu 'roller shutter' sedang turun secara perlahan untuk menutup pintu ruang mesin ATM.

"Kucing tidak akan tunggu di satu lokasi jika berlaku bunyi bising. Sudah tentu bunyi 'roller shutter' kuat sewaktu turun akan memeranjatkan kucing dan kucing akan berlari pergi.

"Kejadian ini seolah-olah badan kucing itu sengaja ditahan hingga leher kucing tersepit," demikian menurut kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi persatuan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya percaya kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam kerana itu merupakan waktu penutupan 'roller shutter' secara automatik.

"Setiap bank akan menutup pintu 'roller shutter' ATM pada jam 12 tengah malam dan hanya membukanya semula pada jam 6 pagi," jelas kenyataan tersebut lagi.

Sehubungan itu, pihaknya mengharapkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak bank untuk mengetahui kejadian sebenar.

Pada masa sama, mereka memohon saksi kejadian untuk berkongsi maklumat melalui talian 011-20901097 agar pelakunya dapat dikesan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!