X

Kindly register in order to view this article
!

Sihat itu nikmat

A
A

KITA mendapat pelbagai nikmat daripada ALLAH SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Antara nikmat yang tiada ternilai harganya ialah kesihatan yang membolehkan kita menjalani kehidupan, melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar. Lebih penting, ia dapat digunakan untuk beribadat dengan sempurna.

Namun, kita sering lupa dan tidak menghargai nikmat kesihatan yang tidak ternilai ini sehingga sering mengabaikannya. Rasulullah SAW memberi peringatan tentang kesihatan melalui sabdanya yang bermaksud: “Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Riwayat Bukhari)

Kebanyakan manusia hanya sedar akan nilai kesihatan apabila mengalami kesakitan atau ditimpa penyakit. Dalam keadaan pandemik kini, penjagaan kesihatan menjadi semakin penting.

Apabila berlakunya penularan wabak, penduduk di tempat terdapatnya wabak hendaklah dilarang keluar dan penduduk luar pula dilarang masuk.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat, maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar darinya.” (Riwayat Bukhari)

Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengelak tempat yang terdapatnya penyakit berjangkit. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat.” (Riwayat Bukhari)

Oleh itu, berwaspadalah sentiasa dan berusahalah yang terbaik untuk mengelak diri sendiri dan ahli keluarga daripada dijangkiti Covid-19 atau apa sahaja penyakit berjangkit.

Mereka yang tidak sihat atau bergejala, elakkan daripada pergi ke tempat awam. Kuarantin diri di rumah masing-masing dan hubungi talian Khidmat Pelanggan Jabatan Kesihatan untuk menjalani saringan jika perlu.

Mungkin ada antara kita yang mempunyai kereta mewah tetapi kereta itu sekadar diletakkan dalam garaj kerana pemiliknya berada di atas kerusi roda. Ada yang memiliki rumah persis istana, rumah yang tersergam indah siap dengan kolam renang dan taman bunga yang indah di sekeliling rumah tetapi pemiliknya terbaring di atas katil hospital.

Kekayaan yang dimiliki mungkin membolehkan seseorang itu merasai kenikmatan masakan mewah daripada seluruh dunia tetapi kerana penyakit yang dihidapi, yang boleh dimakan hanyalah beberapa biji pil dan air suam pada waktu pagi serta bubur nasi kosong pada sebelah malam, berlaukkan beberapa biji pil lagi.

Rumah sebesar istana, kereta mewah, jet peribadi, pakaian berjenama, kasut dan beg berjenama sedikitpun tidak berguna apabila pakaian yang disarungkan ialah pakaian seragam hospital dan hanya terbaring di katil hospital.

Mungkin mampu berada di hospital swasta yang mewah tetapi hakikatnya tetap tinggal di hospital dan tidak dapat menjalani hidup dengan lebih baik.

Wang yang banyak hingga tidak habis dimakan oleh tujuh keturunan sekalipun tidak lagi bernilai sekiranya sudah sakit, apatah lagi sakit yang kritikal atau kronik. Kredibiliti, reputasi dan sanjungan orang ramai juga tidak lagi bererti.

Malah, bagi yang terkena jangkitan Covid-19, tiada pelawat dibenarkan. Jika ditakdirkan mati, hanya pihak berwajib yang menguruskan jenazah. Mati pun seorang diri. Tiada layanan VIP.

Oleh itu, jagalah kesihatan kita, lebih-lebih lagi ketika berlakunya pandemik seperti sekarang. Patuhilah setiap SOP. Hargai dan manfaatkanlah nikmat sihat dengan sebaiknya. Semoga kita semua dilindungi daripada segala penyakit yang memudaratkan dan wabak yang menular.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!