Sathia jurulatih pemurah, tak lokek ilmu

Sathianathan, 65, dilapor menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.25 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser.
Sathianathan, 65, dilapor menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.25 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser.
A
A
A

PEMERGIAN bekas pengendali skuad Harimau Malaya B Sathianathan yang meninggal dunia hari ini amat dirasai dalam kalangan pemain bola sepak tanah air khususnya mereka yang pernah menjadi anak didik mendiang.

Bekas penyerang kebangsaan Safee Sali berkata, Sathianathan merupakan inidividu yang pemurah sama ada dari segi kewangan mahupun ilmu selain mempunyai disiplin tinggi sepanjang bergelar jurulatih.

“Mendiang memang seorang yang baik hati walaupun kelihatan tegas menerusi televisyen. Beliau sebenarnya sangat pemurah. Sekiranya pemain tidak mendapat bayaran gaji, beliau akan mengeluarkan duit sendiri untuk membantu pemain yang mengalami masalah kewangan.

“Satu kehilangan amat dirasai oleh kami yang terlibat dalam industri bola sepak. Beliau memang seorang yang murah hati dalam memberi sebarang ilmu mengenai bola sepak dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan kanan Johor Darul Ta'zim (JDT) S Kunanlan berkata, ilmu dan bakti yang dicurahkan mendiang banyak membantu menambah baik prestasinya sebagai pemain kebangsaan.

“Beliau (Sathianathan) adalah antara jurulatih terbaik, punya pengalaman dan pengetahuan sangat bagus untuk berikan penambahbaikan kepada pemain. Saya sendiri antara pemain yang menjadi pilihan beliau untuk dibawa ke dalam pasukan kebangsaan,” katanya.

Sathianathan, 65, dilapor menghembuskan nafas terakhirnya pada 1.25 tengah hari tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat kanser.

Bekas pemain Negeri Sembilan itu sebelum ini terpaksa berehat seketika daripada arena bola sepak selepas menjalani rawatan kesihatan pada tahun lepas.

Pencapaian terbaik mendiang adalah ketika mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) untuk menjuarai Pestabola Merdeka 2007 dan dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya sehingga awal 2009.

Sathianathan pernah menjadi jurulatih beberapa pasukan tempatan antaranya Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda United, Selangor dan kali terakhir sebagai pengendali Sarawak United.

Arena bola sepak negara kehilangan pakar taktikal

ARENA bola sepak negara hari ini kehilangan seorang pakar taktikal dan jurulatih berperwatakan tegas B Sathianathan yang meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 1.25 tengah hari Selasa.

Menghembuskan nafasnya pada usia 65 tahun, mendiang meninggalkan isteri dan empat orang anak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.

Mendiang yang mempunyai pengalaman lebih empat dekad sebagai pemain dan jurulatih bola sepak, merupakan individu yang terkenal dengan keberanian dan kelantangannya dalam menyuarakan pendapat serta kritikan berkaitan sukan bola sepak.

Selain telah membuktikan kewibawaan selaku perancang terbaik apabila dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Kebangsaan sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017), beliau juga menjadi rujukan dalam hal-hal berkaitan bola sepak.

Selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), beliau sentiasa tampil membela nasib jurulatih tempatan yang terpalit dengan isu tunggakan gaji dan sering menjadi 'kambing hitam' sekiranya prestasi pasukan tidak memuaskan.

Lahir pada 9 Mei 1958 di Parit, Perak, Sathianathan memulakan kerjayanya sebagai pemain bersama Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan pada 1977.

Beliau kemudian beraksi bersama Negeri Sembilan dan Melaka dalam kancah Liga Malaysia dari 1978 hingga 1989, serta pernah menyarung jersi kebangsaan dalam 15 aksi sejak 1979 hingga 1983.

Sathianathan memulakan kerjaya kejurulatihan bersama NS Youth pada 1990, pernah mengemudi skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan bermula 2006 sehingga muncul juara Pestabola Merdeka 2007.

Kejayaan itu menyaksikan beliau diberikan kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab selaku Ketua Jurulatih Harimau Malaya sehingga awal 2009 sebelum kontraknya ditamatkan.

Mendiang kemudian melebarkan sayapnya selaku antara jurulatih terbaik dalam saingan Liga Malaysia apabila mengemudi beberapa pasukan seperti Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Felda United dan Selangor.

Sarawak United menjadi pasukan terakhir mendapat sentuhan beliau, sebelum mendiang membuat keputusan untuk berehat kerana faktor kesihatan sejak pertengahan 2022.

Dalam tempoh 2009-2022 mengemudi pasukan di Liga Malaysia, Sathianathan pernah merangkul gelaran Piala Malaysia bersama Kelantan pada 2010 serta kejuaraan Liga Premier bersama ATM dan Felda United masing-masing pada 2012 dan 2018.

Mendiang juga merupakan antara beberapa jurulatih tempatan yang pernah menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dianggap kebal ketika mengemudi Felda United mencatatkan kemenangan 3-2 pada aksi Liga Super 2017.

Selain lantang menyuarakan isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih, mendiang turut memperjuangkan hak jurulatih tempatan yang ditindas pihak majikan selain sering membantu pemain dari segi kewangan apabila pihak kelab tidak membayar gaji.

Orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir boleh hadir di kediamannya di No.19, Jalan Panglima Awang 35/120, Alam Impian, Seksyen 35, 40460 Shah Alam bermula 3 petang esok.

Jasad mendiang akan di bawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk disemadikan (cremation) selepas selesai upacara sembahyang di kediamannya pada Khamis.