Covid-19: 1,229 kes positif, 4 kematian

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia terus mencatat empat digit bagi kes harian baharu Covid-19 apabila 1,229 kes direkodkan hari ini dengan empat lagi kematian, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes di negara kini ialah 83,475 dengan jumlah kes aktif sebanyak 13,667, manakala angka korban akibat pandemik itu setakat ini ialah 415 orang.

“Daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah 1,227 kes,” menurutnya dalam kenyataan berhubung perkembangan terkini situasi Covid-19 di sini hari ini.

Selangor masih merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 435 dengan 344 kes adalah dari kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan diikuti Sabah (333 kes) dan Kuala Lumpur (131 kes).

Jumlah kes sembuh hari ini adalah sebanyak 1,309 kes dan sehingga kini, terdapat 115 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan empat kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata, satu kes melibatkan wanita warga emas berusia 83 tahun di Kelantan yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang kronik.

Satu lagi kes kematian melibatkan lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur 60 tahun di Negeri Sembilan yang menghidap penyakit kencing manis, katarak dan buah pinggang kronik.

Sementara itu, dua kematian lagi berlaku di Selangor melibatkan seorang wanita berusia 44 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, obesiti dan buah pinggang kronik serta seorang lelaki berumur 29 tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: