X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan negeri tumpu bangunkan Pahang Barat

Wan Rosdy ketika hadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Negeri Pahang di Kuantan kelmarin.
A
A

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang kini berusaha membangunkan daerah Pahang Barat termasuk cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Wilayah Pahang Barat Plus dan menghidupkan kembali Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) Pahang Barat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap, kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dapat memberi perhatian dan keutamaan untuk tujuan itu.

Beliau berkata, antara cadangan lain ialah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pelaburan projek pembangunan berkaitan pelancongan dan pertanian.

"Dalam tempoh 2018 hingga November tahun ini, nilai pelaburan komited ke daerah Pahang Barat kira-kira RM2.3 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Pahang, RM10.17 bilion.

"Kedudukan Pahang Barat sebagai gerbang kemasukan pelancong ke negeri ini perlu dimanfaatkan bagi menarik kedatangan pelancong terutama dari pantai barat Semenanjung Malaysia," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pahang Barat juga sangat berpotensi untuk pembangunan projek pertanian berskala besar, komersil dan berteknologi tinggi terutama buah-buahan, sayuran dan ternakan.

Tambah beliau, ECERDC sendiri telah merangka Pelan Strategik Pembangunan Pahang Barat menerusi tiga kluster ekonomi iaitu pelancongan, pertanian dan infrastruktur.

"Ia termasuk meningkatkan kedatangan pelancong domestik bagi kunjungan harian atau hujung minggu terutamanya dari Lembah Kelang dan cadangan projek perintis pembangunan industri bio-aromatik di Pusat Bio Herba, Taman Teknologi Raub yang akan dibangunkan menerusi inisiatif pelaburan swasta.

"Pembangunan industri tenusu juga akan terus menjadi tumpuan di daerah Pahang Barat termasuk menjadikan kawasan ternakan tenusu berskala besar dan sederhana di kawasan padang ragut seluas 202.42 hektar milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Lipis," katanya.

Beliau berkata, di bawah kluster ekonomi infrastruktur, tumpuan terus diberikan antaranya menyiapkan projek Central Spine Road (CSR) Kuala Krai, Kelantan hingga ke Simpang Pelangai, Bentong sepanjang 347 kilometer.

"Lebih banyak kawasan dapat dibangunkan dengan lebih pesat selain memudahkan dan memendekkan perjalanan antara destinasi berkenaan jika projek berkenaan siap," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kutipan hasil Pahang RM777 juta

Kerajaan Pahang perkenal dua laman web


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!