'Segerakan penubuhan Majlis Media Malaysia'

Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Border (RSF), sebuah badan bukan kerajaan berkenaan kebebasan media berpangkalan di Paris, menyaksikan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara, melonjak 40 kedudukan berbanding tahun sebelumnya.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Border (RSF), sebuah badan bukan kerajaan berkenaan kebebasan media berpangkalan di Paris, menyaksikan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara, melonjak 40 kedudukan berbanding tahun sebelumnya.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Border (RSF), sebuah badan bukan kerajaan berkenaan kebebasan media berpangkalan di Paris, menyaksikan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara, melonjak 40 kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

Dalam laporan itu yang menilai tahap kebebasan media sepanjang 2022, RSF menggambarkan Malaysia sebagai antara negara yang menunjukkan peningkatan prestasi paling ketara dan agak konsisten dalam tempoh tiga tahun berturut-turut hingga 2023, iaitu ke-113 dalam laporan 2022 dan ke-119 pada 2021.

RSF mentakrifkan kebebasan media sebagai kemampuan wartawan, secara individu dan organisasi, untuk memilih, mengeluar dan menyebar berita berkepentingan awam tanpa campur tangan politik, ekonomi, perundangan dan sosial serta bebas ancaman terhadap keselamatan fizikal dan mental mereka.

Penilaian dibuat dalam tempoh Januari hingga Disember pada tahun sebelum laporan dikeluarkan.

Pencapaian ini pastinya sesuatu yang membanggakan kerana Malaysia dianggap oleh organisasi itu sebagai sebuah negara yang melaksanakan undang-undang draconian yang mengekang kebebasan media.

Sewajarnya juga prestasi negara yang diperakui oleh RSF ini diketengahkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini. Bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, sambutan diadakan sehari lebih awal, iaitu pada Ahad ini, di Ipoh, Perak.

Untuk rekod, HAWANA dirai pada 29 Mei setiap tahun.

Mengulas tentang tahap kebebasan media di negara ini, penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, sebarang usaha yang digerakkan oleh kerajaan ke arah kebebasan media adalah bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Jelas beliau, ini bagi membolehkan pengamal media memainkan peranannya dengan lebih berkesan, terutama dalam membantu membentuk keselamatan minda masyarakat.

"Pihak media yang bebas perlu menjadi antara pemangkin utama yang menggerakkan dasar keselamatan minda, selaras dengan satu daripada teras dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025. Industri media perlu bekerjasama dengan pihak berwajib termasuk agensi tertentu, sebagai langkah strategik dalam menggerakan perang saraf media terhadap ancaman digital yang sedang berleluasa.

"Keselamatan minda masyarakat yang dibentuk oleh media ini juga adalah satu kaedah terbaik untuk mempersiap orang ramai mendepani pelbagai ancaman berbentuk subversif dan ideologi yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum. Kita semua bertanggungjawab menjadi benteng negara terhadap ancaman sebegini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha mewujudkan industri media yang bebas dan selamat sebenarnya boleh meningkatkan lagi keselamatan dan kestabilan politik negara menerusi penulisan berita yang benar dan objektif.

Media yang bebas juga dapat menyokong pembangunan sosioekonomi kerana pelabur asing lebih yakin untuk melabur di negara ini jika rakyat bersatu padu dan kedudukan kerajaan yang stabil, tanpa diganggu-gugat oleh berita palsu dan fitnah, kata Noor Nirwandy.

Bernama pada 13 Mei lepas, melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai berkata, pencapaian Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia itu diyakini mampu menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.

Menurut Fahmi, ini kerana pelaporan media tanpa berselindung merupakan antara kayu ukur pelabur asing sebelum mereka membuat keputusan meletakkan pelaburan lebih RM25 bilion untuk 10 tahun ke depan di negara ini.

Indeks media Malaysia

Berpendapat pelbagai usaha perlu dilakukan oleh kerajaan dan setiap pihak berkepentingan bagi mewujudkan satu atmosfera media yang selamat, Noor Nirwandy berkata, antara yang boleh dilakukan ialah melaksanakan pembaharuan dari segi elemen keselamatan kemanusiaan.

"Setiap wartawan akan mudah terdedah kepada pelbagai halangan, tidak kira dalam bentuk fizikal ataupun mental, termasuklah cabaran perubahan iklim sedunia yang turut memberi kesan kepada tugasan wartawan di lapangan.

"Kerajaan dan pihak berwajib perlu terus memperkasa prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada yang perlu diamalkan wartawan yang bertugas di lapangan supaya keselamatan dan kebajikan mereka terus terjamin.

"Selain itu, kita juga perlu pastikan wartawan akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman siber (dalam bentuk berita palsu, fitnah dan lain-lain) serta ancaman kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk memberikan imej negatif kepada wartawan itu sendiri," katanya.

Beliau pada masa sama mencadangkan kerajaan mewujudkan Indeks Media Malaysia sebagai mekanisme untuk pengamal media tempatan menilai keberkesanan mereka dalam menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat selain mengukur tahap kebebasan dan kebajikan mereka.

Segerakan penubuhan MMM

Sementara itu, Pengasas Bersama Global Risk Journalism Hub, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan, kerajaan dan semua pihak berkepentingan industri media perlu konsisten dalam meningkatkan kredibiliti media arus perdana serta persepsi kepercayaan rakyat terhadap organisasi tersebut.

"Kenapa dan bagaimana kita hendak wujudkan kredibiliti ini? Banyak parameter boleh ditimbang, antaranya melalui usaha mengimbangi pemberitaan antara kerajaan dan pembangkang. Parameter ini tidak boleh diabaikan kerana ia antara tonggak utama yang menilai Indeks Kebebasan Media Dunia RSF di samping parameter lain seperti pemilikan media dan sebagainya.

"Bila ada unsur kredibiliti ini, tidak ada pihak yang akan merujuk sumber alternatif, iaitu pautan platform media lain yang biasanya mempunyai agenda tersembunyi, sering membawa unsur berita berbentuk sumber kedua serta banyak berita palsu yang mengelirukan dan menakutkan rakyat," katanya.

Menurut pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu lagi, prestasi indeks kebebasan media Malaysia di peringkat global boleh dipertingkat secara lebih efektif menerusi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang sedang digubal dan dijangka dibawa ke Parlimen pada Oktober ini.

"Kita tidak mahu kedudukan kita selalu terumbang-ambing setiap kali Indeks ini dikeluarkan, dan kita perlu mempergiat usaha untuk melonjak ke depan. Untuk itu, tubuhkan segera MMM kerana ia dapat mengawal selia bukan setakat perjalanan media di negara kita malah memelihara kedudukan wartawan.

"Langkah ini juga diyakini dapat mengekalkan konsistensi dan menambah baik penilaian terhadap tahap kebebasan media negara ini di mata dunia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara dengan tahap kebebasan media yang proaktif berbanding negara-negara maju," tambah beliau.

Katanya, penubuhan MMM juga wajar disegerakan demi melindungi dan menaik taraf profesion kewartawanan media perdana, khususnya dalam mendepani cabaran digital dari segi pemberitaan.

"Ini termasuk impak platform media sosial yang memberikan satu tekanan, bukan sahaja banyak ke arah politik kebencian dan elemen hasutan dan fitnah, bahkan berita palsu dengan maklumat yang salah dan tidak tepat,” ujarnya.

Corak kebebasan media

Turut berkongsi pandangan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya yang berharap semua pemilik dan pengamal media dapat bekerjasama dalam mencorakkan kebebasan media yang mereka mahukan menerusi penubuhan MMM itu nanti.

Katanya, pihak industri media tidak boleh mensia-siakan peluang menjadikan MMM sebagai wadah untuk mengawal selia industri secara kendiri.

"Pihak media tidak boleh semata-mata mengharapkan kerajaan memberikan mereka kebebasan dalam 'dulang emas'. Mereka sendiri perlu berusaha. Sudah tiba masanya pengamal media bersatu padu dan menetapkan tahap terbaik kebebasan yang mereka inginkan, tanpa diganggu-gugat secara berlebihan dari segi politik, pemilikan dan kerangka perundangan yang menyekat.

"Ini semua demi kepentingan untuk terus mengumpul, menerbit dan menyebar berita dan maklumat yang benar kepada setiap ahli masyarakat, selain berterusan menangani isu-isu berkaitan media seperti berita palsu dan sebagainya," jelas beliau.

Chamil juga sependapat dengan Sara agar kerajaan menyegerakan penubuhan MMM, namun pada masa sama mencadangkan kerajaan memansuhkan undang-undang yang disifatkan oleh beliau sebagai mengekang kebebasan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, selain menukar status Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang selama ini hanya dilihat sebagai "suara kerajaan”, menjadi entiti penyiaran awam.

HAWANA: Wartawan asing puji indeks kebebasan akhbar Malaysia bertambah baik

Malaysia akan menyambut Hari Wartawan Nasional 2023 (HAWANA 2023) di tengah-tengah landskap media yang berkembang pesat dan satu penanda aras baharu yang menunjukkan kebebasan akhbar di negara ini kian bertambah baik.

Ucapan tahniah 'mencurah-curah' diterima daripada rakan media tempatan dan antarabangsa yang gembira mengetahui bahawa kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar telah meningkat, walaupun bagi kebanyakan pihak definisi kebebasan akhbar boleh menjadi sangat subjektif.

Walaupun mereka memuji indeks kebebasan akhbar baharu, mereka merasakan masih ada ruang untuk penambahbaikan dan mengariskan pelbagai cabaran mendatang termasuk yang ditimbulkan oleh kewartawanan rakyat dan media sosial, pendapatan yang semakin berkurangan dan pertumbuhan media baharu, berita palsu dan maklumat tidak benar dan gangguan digital yang tiada penghujungnya.

Mereka memetik perubahan dalam kancah politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk perubahan kerajaan, kebangkitan media sosial dan agenda reformis kerajaan hari ini sebagai antara penyumbang kepada peningkatan dalam indeks kebebasan akhbar di Malaysia.

Dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2023, Malaysia naik ke kedudukan ke-73 dengan 62.83 mata daripada 180 negara berbanding tempat ke-113 dengan 51.55 mata pada 2022. Indeks tahunan yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini juga menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan tertinggi antara negara ASEAN dalam kebebasan akhbar mendahului Thailand (106), Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) turut teruja menjadi sebahagian daripada kumpulan media di negara ini yang meraih keuntungan dari segi kebebasan akhbar, seperti dibuktikan dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini oleh RSF.

FCCM mengalu-alukan pencapaian ini dan berharap akan ada peningkatan berterusan di bawah kerajaan reformis kepada rangka kerja kawal selia yang mentadbir akhbar, merangkumi undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

"FCCM dan ahlinya berminat untuk memainkan peranan dalam proses ini dan berharap dapat melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa untuk melangkah ke hadapan," katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama,

HAWANA bukti komitmen kerajaan jamin kebebasan media

Sementara itu, editor dan wartawan kanan Indonesia menyifatkan sambutan HAWANA buat kali ketiga membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan memastikan kebebasan media di Malaysia terus subur.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan berkata, kerjasama organisasi media di kedua-dua negara turut digalakkan kerajaan untuk mengatasi segala isu berkaitan media termasuk berita palsu dan mengharungi cabaran berat di era digitalisasi dan globalisasi.

"Kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik apabila media tidak kritis.

"Selamat Hari Wartawan Malaysia kepada semua yang tidak pernah berhenti memperjuangkan kepentingan rakyat dan berpihak untuk rakyat dalam menyuarakan hati nurani mereka," kata bekas editor akhbar Republika dan ketua agensi berita ANTARA itu.

Ketua Persatuan Wartawan Indonesia Atal Depari pula memuji keprihatinan kerajaan memberi ruang kebebasan kepada wartawan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia, sama seperti Dewan Pers di Indonesia yang secara relatifnya bebas.

Atal, yang tidak dapat hadir di sambutan kali ini kerana tugasan, berpendapat sambutan kali ini akan terus menjadi platform memajukan kebebasan media di Malaysia untuk berkembang baik.

Cabaran media sosial dan platform global

Sementara itu, Ketua Forum Pemimpin Redaksi Indonesia, Arifin Asydhad melihat media di Indonesia dan Malaysia hampir sama-sama terpinggir susulan kemunculan media sosial yang dominan dalam kalangan masyarakat dan platform global dalam ekosistem industri media massa.

Wartawan dipertanggungjawab mengeluarkan maklumat yang benar dengan pelbagai peraturan dan kod etika sedangkan media sosial menghasilkan apa saja maklumat kepada masyarakat tanpa batasan.

Justeru, katanya, komuniti wartawan perlu terus mendorong agar media sosial dan platform global turut mengeluarkan maklumat yang benar dan boleh dipertanggungjawabkan, kata Arifin.

"Di Indonesia, satu peraturan terhadap platfom global untuk menyokong kewartawanan yang berkualiti sedang diperjuangkan. Langkah seterusnya adalah untuk mengawal selia media sosial. Peraturan ini boleh melindungi hak masyarakat untuk mendapat maklumat yang benar dan tepat," katanya.

"Apa yang dilakukan komuniti wartawan di Indonesia sangat penting untuk dilakukan Malaysia. Sempena HAWANA 2023 ini, wartawan sudah harus melihat persoalan ini dengan lebih jelas dan memperbetul kewujudan media sosial dan platform global," katanya, yang juga Ketua Editor portal berita Kumparan.

Senario politik tempatan dan kebebasan media

Penasihat Eksekutif Dunia Perkhidmatan Penyiaran Awam Thai (PBS Thai), Thepchai Yong berkata, peningkatan yang memberangsangkan dalam kebebasan akhbar di Malaysia menggambarkan transformasi positif dalam landskap media negara berikutan perubahan dalam kepimpinan politik.

"Saya gembira menyaksikan transformasi positif dalam landskap media Malaysia kerana perubahan kerajaan membawa persekitaran media yang lebih bertolak ansur. Tiada lagi kawalan ketat atau sikap tidak bertoleransi terhadap kritikan.

"Malaysia menonjol sebagai contoh yang baik tentang bagaimana persekitaran media telah mengalami peningkatan yang luar biasa," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Presiden INNOVATION Media Consulting, Juan Señor, yang berpangkalan di London dalam perutusannya kepada wartawan Malaysia berkata; "Saya menulis untuk menyatakan sokongan terhadap usaha anda dalam menegakkan media bebas di Malaysia. Komitmen anda terhadap kebenaran, ketepatan dan keadilan adalah penting untuk demokrasi yang sihat. Peningkatan anda dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia adalah bukti kepada pencapaian ini.

"Wartawan mesti dibenarkan melakukan tugas mereka tanpa rasa takut akan tindakan balas. Orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui apa yang kerajaan mereka lakukan dan media bebas adalah penting untuk memastikan hak ini ditegakkan."

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia untuk menyokong media bebas mereka dan memberitahu kerajaan bahawa mereka menghargai media bebas.

Sementara itu, Felow Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Dr Oh Ei Sun, mengaitkan peningkatan indeks kebebasan akhbar Malaysia dengan kancah politik tempatan di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Beliau menyatakan bahawa senario media Malaysia telah banyak diliberalisasikan sebahagiannya akibat kekerapan perubahan kerajaan yang menyebabkan campur tangan politik 'lebih ditakuti'.

"Hanya diharapkan trend liberalisasi ini dapat diteruskan. Tetapi ini adalah prestasi cemerlang oleh wartawan Malaysia yang semakin berani," katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, penganalisis itu percaya perkembangan itu mungkin terganggu jika kuasa konservatif dan regresif menguasai pentas politik sekali lagi.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini.

HAWANA 2023 akan diadakan di Ipoh Perak dari 27-29 Mei dengan bertemakan 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi' bagi menekankan semula isu kebebasan media bagi wartawan yang melaksanakan tugas mereka.

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei. - Bernama