X

Kindly register in order to view this article
!

Kes demam denggi di Negeri Sembilan terus meningkat

Kes demam denggi di Negeri Sembilan ini terus meningkat dengan jumlah kumulatif sebanyak 2,816 kes bagi tempoh Januari sehingga 5 Disember lalu. - Foto 123RF
A
A

SEREMBAN - Kes demam denggi di negeri ini terus meningkat dengan jumlah kumulatif sebanyak 2,816 kes bagi tempoh Januari sehingga 5 Disember lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pada minggu ke-49, sebanyak 26 kes lagi telah direkodkan berbanding minggu sebelumnya sebanyak 30 kes.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes demam denggi dicatatkan di daerah Seremban, manakala masing-masing tiga kes di daerah Jelebu dan Tampin.

Menurutnya, Seremban merekodkan jumlah kumulatif kes tertinggi iaitu sebanyak 2,408 kes, diikuti Tampin (96), Port Dickson (88), Jempol (78), Rembau (67), Jelebu (53), dan Kuala Pilah (26).

“Bagaimanapun bagi minggu ke 49 ini, daerah Rembau dan Port Dickson tiada mencatatkan kes baharu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Veerapan bagaimanapun berkata, tiada kematian terbaharu akibat denggi direkodkan pada minggu itu menjadikan jumlah kes kematian kekal sembilan orang.

Sementara itu, katanya. pihak berkuasa juga mengesan 10 lokaliti yang masih aktif di Seremban.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan diteruskan pada masa ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Aktiviti memusnahkan tempat pembiakan aedes masih lagi dilaksanakan dengan menyasarkan di premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti 'larviciding', semburan pengasapan serta promosi kesihatan.

"Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan di kawasan premis masing-masing selama 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat-tempat atau bekas-bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes, sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!