KPDNHEP rampas minyak wangi tiruan RM1.7 juta

Anggota penguat kuasa KPDNHEP merampas minyak wangi tiruan pelbagai jenama dalam serbuan di Chan Sow Lin baru-baru ini.
Anggota penguat kuasa KPDNHEP merampas minyak wangi tiruan pelbagai jenama dalam serbuan di Chan Sow Lin baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 33,272 botol minyak wangi tiruan pelbagai jenama bernilai lebih RM1.7 juta dalam satu serbuan di Jalan Chan Sow Lin di sini baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, serbuan itu dilakukan adalah hasil risikan selama hampir dua bulan oleh Unit Risikan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP.

Menurutnya, serbuan ke atas sebuah premis yang disewa oleh seorang individu untuk dijadikan tempat penyimpanan stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama itu dilakukan bersama wakil daripada pemilik cap dagang.

"Semasa serbuan, pekerja di premis itu sedang melakukan aktiviti pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak.

"Pemeriksaan lanjut, kita menemui beberapa jenama minyak wangi yang disyaki tiruan antaranya jenama Burberry, Gucci dan Victoria Secret," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 37 tahun dan 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan keterangan, barangan tiruan itu diperoleh dari China dan selepas dibungkus ia akan diedarkan kepada pemborong di sekitar Lembah Klang selain dijual secara dalam talian," katanya.

Katanya, kes itu disiasat di bawah seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Artikel Berkaitan:

"Kita memberi amaran kepada individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.

"Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya.