Feri Pulau Pinang perlu dikekalkan

Perkhidmatan feri telah beroperasi di Pulau Pinang lebih 100 tahun lalu.
Perkhidmatan feri telah beroperasi di Pulau Pinang lebih 100 tahun lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan digesa mengkaji semula cadangan untuk menggantikan perkhidmatan feri dengan bot katamaran sebagai pengangkutan air di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang, Hazizi Padzil berkata, sehingga kini cadangan menggunakan bot katamaran tidak jelas diperincikan kepada orang awam termasuk jenis bot yang akan digunakan.

Menurutnya, timbul persoalan adakah bot katamaran yang akan digunakan boleh membawa kenderaan ringan seperti motosikal, kereta, van dan lori empat tayar atau hanya untuk pejalan kaki.

"Memang terdapat bot katamaran besar yang mempunyai ruang untuk kenderaan, namun harganya begitu mahal dan mengikut perkiraan daripada kerajaan Persekutuan bot katamaran yang dicadangkan hanya boleh memuatkan penumpang pejalan kaki.

"Bagaimana dengan nasib penumpang berkenderaan ringan seperti motosikal, kereta, van dan lori empat tayar yang selama ini menggunakan perkhidmatan feri yang menghubungkan kawasan tanah besar dan pulau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hazizi berkata, perkara ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang berkenderaan terutama penunggang motosikal yang memikirkan risiko keselamatan jalan raya terutama pada waktu kemuncak dan ketika musim hujan sekiranya mereka tidak boleh lagi menggunakan perkhidmatan pengangkutan air terbabit.

Hazizi (tengah) memegang kain rentang menuntut perkhidmatan feri diselamatkan.
Hazizi (tengah) memegang kain rentang menuntut perkhidmatan feri diselamatkan.

Beliau berkata, berdasarkan Statistik Pengangkutan Malaysia kadar kemalangan jalan raya di negeri ini meningkat daripada 33,719 kes pada tahun 2009 kepada 45,734 kes pada tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, kebanyakan kes kemalangan yang berlaku adalah melibatkan jumlah yang besar bagi motosikal dan kereta.

"Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di dalam Dewan Rakyat sebelum ini menyatakan seramai 1.5 juta penumpang menggunakan perkhidmatan feri dalam tempoh setahun dan daripada jumlah tersebut sebanyak 200,000 adalah penumpang berkenderaan.

"Jika jumlah penumpang berkenderaan tersebut mahu dibandingkan dengan jumlah penumpang penjalan kaki sememangnya wujud jurang jumlah yang besar, namun angka 200,000 itu juga bukanlah angka yang kecil yang tidak perlu dihiraukan," katanya.

Mengulas lanjut, Hazizi berkata, kita tidak seharusnya menolak pemodenan, namun kita juga tidak boleh mengenepikan sumber lama sedia ada yang masih boleh ditingkatkan kualiti dan perkhidmatannya.

Katanya, amat menyedihkan sekiranya feri yang telah menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai sejak dari tahun 1894 ditamatkan begitu sahaja.

"Pengangkutan air itu bukan sahaja mempunyai nilai sejarah yang tinggi malah menjadi ikonik bagi Pulau Pinang sejak sekian lama," katanya.