Kelantan benar solat Jumaat, fardu ikut SOP

Solat Jumaat dan fardu termasuk aktiviti di masjid, musolla dan surau di jajahan yang ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan dibenar dilaksanakan mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Solat Jumaat dan fardu termasuk aktiviti di masjid, musolla dan surau di jajahan yang ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan dibenar dilaksanakan mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
A
A
A

KOTA BHARU - Solat Jumaat dan fardu termasuk aktiviti di masjid, musolla dan surau di jajahan yang ditamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan dibenar dilaksanakan mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan itu membabitkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan juga Machang kecuali di dua daerah Penggawa.

Beliau berkata, bagi daerah Penggawa Kubang Kerian, Kota Bharu dan Daerah Penggawa Kusial Tanah Merah pula solat dan aktiviti agama diteruskan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang dilanjutkan sehingga 20 Disember ini.

“Memaklumkan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V juga Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darul Naim sebagai Ketua Agama Islam telah mengampuni perkenan agar solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti di masjid, surau serta musolla dibenarkan mengikut SOP tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, MAIK masih mengekalkan arahan supaya surau dan musolla yang terletak di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma, Pasir Puteh (kluster Huma) ditutup sehingga tarikh dimaklumkan kelak.

“Begitu juga arahan penutupan surau dan musolla yang terletak di dalam kawasan Kluster Mengketil dan kawasan Istana Negeri Kubang Kerian adalah diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak,” katanya.

Sehubungan itu, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan terbabit.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kenyataan Jabatan Kesihatan Kelantan sehingga kini terdapat 105 kes positif Covid-19 dirawat di wad termasuk enam sedang di Unit Rawatan Rapi.

Tiada kematian baharu direkodkan semalam menjadikan kumulatif kes kematian adalah empat.