Kumpulan rentas parti selesai masalah prasarana penjara

Rais (kanan) ketika mempengerusikan perbincangan bersama Azalina (dua dari kanan) dan ahli KRPPM di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
Rais (kanan) ketika mempengerusikan perbincangan bersama Azalina (dua dari kanan) dan ahli KRPPM di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kumpulan rentas parti yang dinamakan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) telah ditubuhkan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik selesai masalah berkaitan prasarana penjara dan sistem tahanan negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mesyuarat pertama bagi tujuan penubuhan KRPPM telah berlangsung pada 9 Disember lalu.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut melibatkan lima ahli Dewan Rakyat, dua ahli Dewan Negara dan pihak-pihak berkepentingan serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA) Universiti Malaya yang bertindak selaku sekretariat.

Menurutnya, penubuhan KRPPM itu tepat pada masanya memandangkan kadar jangkitan wabak pandemik global Covid-19 di penjara mencatatkan angka yang tinggi iaitu lebih 7,000 kes, tidak termasuk 560 kes dilaporkan menjangkiti kakitangan penjara.

“Selain itu, jumlah banduan di dalam penjara yang melebihi kapasiti penjara juga amat membimbangkan dan memerlukan perhatian dan tindakan segera untuk diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Azalina yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat turut mengucapkan penghargaan atas penglibatan dan kerjasama yang diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang telah mempengerusikan perbincangan bersama KRPPM pada Rabu lepas.

“KRPPM menyambut baik cadangan Yang Dipertua Dewan Negara untuk menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Bersama terdiri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara bersama demi kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya.

“Penubuhan Jawatankuasa Rundingan Bersama selaras dengan Peraturan Mesyuarat 79 (Dewan Negara) ini merupakan julung-julung kalinya dalam sejarah institusi Parlimen Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli Parlimen yang terlibat sebagai ahli KPPRM ialah Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Ramli Mohd Noor (Cameron Highlands), Nurul Izzah Anwar (Permatang Pauh) dan Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar)

Dua ahli Dewan Negara yang terlibat ialah Liew Chin Tong dan Datuk Seri S Vell Paari.