Bekas CEO TTITC maut kemalangan

Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang dipandu mangsa selepas terlibat kemalangan. Foto: Ihsan Polis (Gambar kecil: Datuk Ajlan Mohamad)
Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang dipandu mangsa selepas terlibat kemalangan. Foto: Ihsan Polis (Gambar kecil: Datuk Ajlan Mohamad)
A
A
A

SETIU - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC), Datuk Ajlan Mohamad, 61, maut apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Rhu 10, Pantai Penarik di sini pagi tadi.

Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada jam 11.35 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki yang berusia 55 tahun dan motosikal Harley Davidson yang ditunggang Ajlan.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta terbabit dari arah Penarik hendak membelok ke simpang kanan Kampung Pandan Jaya.

“Bagaimanapun, tiba -tiba motosikal mangsa telah melanggar belakang kereta tersebut menyebabkan mangsa jatuh dan mengalami kecederaan parah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: