Suri rumah lesap RM177,500 ditipu lelaki baru kenal di FB

Seorang suri rumah berusia 40-an kerugian RM177,500 akibat diperdaya oleh lelaki yang dikenalinya kira-kira sebulan lalu menerusi laman sosial Facebook. Gambar hiasan - Foto 123RF
Seorang suri rumah berusia 40-an kerugian RM177,500 akibat diperdaya oleh lelaki yang dikenalinya kira-kira sebulan lalu menerusi laman sosial Facebook. Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang suri rumah berusia 40-an kerugian RM177,500 akibat diperdaya oleh lelaki yang dikenalinya kira-kira sebulan lalu menerusi laman sosial Facebook.

Difahamkan wanita tersebut menjalin hubungan rapat dengan lelaki dikatakan berasal dari Poland itu yang kemudian memberitahu mangsa, konon memberinya hadiah serta wang tunai sebagai tanda persahabatan menggunakan perkhidmatan penghantaran di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bagaimanapun mangsa perlu membayar wang cukai, insurans, dan caj perkhidmatan lain bagi menebus barang yang dihantar itu.

"Teruja mahu mendapatkan hadiah tersebut, mangsa membuat 17 transaksi kepada suspek sejak 7 Disember hingga 8 Disember lalu ke dalam lima akaun tempatan berlainan.

"Bagaimanapun selepas menyedari dia ditipu, wanita berkenaan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati mangsa mengenali lelaki terbabit sejak sebulan lalu dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki berkenaan merupakan ahli sindiket parcel scam berdasarkan modus operandi digunakan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik akaun yang terlibat dalam kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," kata beliau.

Artikel Berkaitan: