25 pemandu 'sangkut urin' di KL

KUALA LUMPUR - Operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di ibu negara dalam tempoh sembilan bulan tahun ini mengesan 25 pemandu positif dadah.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, statistik setakat September menunjukkan seramai 341 pemandu telah menjalani saringan air kencing membabitkan 277 pemandu kenderaan barangan, kenderaan pelancongan (36 pemandu) dan kenderaan perkhidmatan awam (28 orang).
"Daripada jumlah tersebut, 25 pemandu telah gagal dalam ujian saringan air kencing pertama.
"Mereka melibatkan 23 pemandu kenderaan barangan, seorang pemandu kenderaan pelancongan dan seorang pemandu kenderaan perkhidmatan awam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terbaharu, JPJ Kuala Lumpur menggerakkan Operasi Bersepadu Dadah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur pada 22 dan 23 September lalu di Plaza Tol Duta di sini.
Hamidi memberitahu, sepanjang dua hari operasi, sebanyak 275 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 43 kenderaan diambil tindakan dan sejumlah 62 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, antara kesalahan dikesan ialah tidak mempunyai Lesen Memandu Kompeten (CDL) (6 kes), tiada Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL) (6 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (5 kes), tidak menyelenggara tayar dengan baik (10 kes) serta cermin gelap (11 kes).
Tambahnya, pihak AADK Kuala Lumpur telah menjalankan 48 saringan air kencing terhadap pemandu dengan dua orang pemandu didapati positif dadah jenis methamphetamine.
"Kedua-dua individu berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut.
"Berdasarkan hasil siasatan, tindakan lanjut boleh diambil di bawah Seksyen 6(1)(a) atau Seksyen 6(1)(b) akta yang sama," ujarnya.
Jelasnya, sekiranya individu berkenaan disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan yang ditetapkan, JPJ akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk menggantung lesen memandu individu berkenaan.

Katanya lagi, JPJ memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu, khususnya mereka yang mengendalikan kenderaan perdagangan dan membawa tanggungjawab besar terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
"Tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pemandu yang mengabaikan undang-undang atau memandu di bawah pengaruh bahan terlarang sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya," ujarnya.
Tegasnya, syarikat dan pengendali pengangkutan turut diingatkan supaya tidak mengambil mudah aspek pemantauan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan.
"Tanggungjawab memastikan keselamatan di jalan raya bukan terletak kepada pemandu semata-mata, malah turut melibatkan pihak yang mengurus dan mengendalikan operasi kenderaan tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
