Krisis Negeri Sembilan: Jangan label derhaka, biadab mendahului kefahaman - Ahmad Zahid

MELAKA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur pihak tertentu supaya tidak sewenang melabel 'derhaka' atau 'biadab' sebelum memahami mengenai institusi kesultanan, adat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap kedudukan serta tanggungjawab institusi perlu diperhalusi sebelum sesuatu pertikaian dinilai.
Menurutnya, tugas kepimpinan adalah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan, selain memelihara martabat institusi.
“Kedudukan serta tanggungjawab setiap institusi perlu diperhalusi sebelum sesuatu pertikaian dinilai.
“Janganlah label derhaka dan biadap mendahului kefahaman tentang duduk perkara.
“Tugas kepimpinan utama ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan, sambil memelihara martabat institusi, bukan bercakap di atas keretapi dan berbalas tiada adab, tiada tamadun,” katanya ketika merasmikan Musyawarah Nasional 3.0 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Sabtu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dan barisan EXCO yang cuba menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebagai biadab dan tidak bertamadun
Ahmad Zahid berkata, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja, manakala penghormatan terhadap Perlembagaan mesti kekal meskipun sesuatu keputusan tidak menepati kehendak atau pendirian pihak tertentu.
“Atas dasar ini jugalah UMNO menjunjung institusi Raja dan tertib Perlembagaan, termasuk kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan iaitu teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan,” katanya.
Tambahnya, kefahaman mengenai perkara itu tidak tumbuh dengan sendirinya sebaliknya perlu dipupuk melalui pendidikan, diperkukuh dalam kehidupan bermasyarakat dan dicerminkan oleh kepimpinan.
“Sebab itu, syarahan ini mesti membawa kita kepada tindakan yang lebih berkesan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

