Belanjawan Melaka 2021 didakwa tidak realistik

Kok Kiew pada sesi perbahasan hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 di Ayer Keroh hari ini.
Kok Kiew pada sesi perbahasan hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 di Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang hari ini mendakwa Belanjawan 2021 negeri yang dibentangkan tidak realistik.

Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) berkata, beliau tidak yakin hasil boleh meningkat sebanyak 14.2 peratus dengan peningkatan RM55.5 juta iaitu dari RM390.2 juta kepada RM445.9 juta dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, matlamat perbelanjaan berhemah harus dibuktikan dengan tindakan selain mendakwa Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri akan datang diadakan di Langkawi, Kedah.

Menurutnya, tidak sepatutnya mesyuarat diadakan di luar negeri Melaka ketika rakyat sedang dihimpit kesusahan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, beliau turut dimaklumkan terdapat mereka yang turut serta akan pergi ke tempat pelancongan itu dengan menaiki kereta dan kapal terbang.

"Saya bersetuju kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali bahawa kerajaan negeri harus berbelanja secara berhemah tetapi saya dapati kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan berbelanja secara berhemah tetapi berbelanja secara mewah," katanya ketika sesi perbahasan pada hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kok Kiee yang juga Pengerusi DAP Melaka turut meminta Sulaiman melaporkan di Sidang DUN itu adakah semua kereta yang dibeli sama ada melalui Panorama mahupun yang dibeli oleh semua agensi dan anak syarikat milik kerajaan negeri.

Semalam, Sulaiman membentangkan Belanjawan Negeri 2021 berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta yang mencatatkan belanjawan lebihan (surplus) kali ke-17 berturut-turut sejak 2005.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sulaiman dalam sesi penggulungannya berkata, pertanyaan atau segala yang menyentuh isu kerajaan mewah, perjalanan luar Melaka, bajet tidak realistik, jangkaan hasil tidak realistik serta penggantian kereta kerajaan negeri tidak melaksanakan perbelanjaan secara mewah adalah tidak tepat.

Menurutnya, prestasi perbelanjaan kerajaan negeri sehingga 7 Disember lalu mencatatkan RM332.40 juta berbanding kutipan hasil sebenar iaitu RM340.96 juta, dengan kelebihan berjumlah RM8.56 juta selain menjangkakan kajian dan kutipan hasil daripada hasil bumi, laut, GLC serta tambak laut.

Katanya, kerajaan negeri telah menjangkakan kenaikan hasil utama adalah kutipan premium berjumlah RM140.55 juta, manakala sasaran hasil kerajaan negeri di bawah pembangunan koridor M-WES adalah RM80 juta setahun.

"Kerajaan negeri tidak melaksanakan pembelian kenderaan baharu namun menggantikan kenderaan secara kaedah sewaan yang mana perjanjian konsesi sewaan kenderaan kerajaan negeri telah tamat pada Jun hingga November lalu.

"Penyelarasan semula tempoh sewaan yang baharu dapat meneruskan kaedah perolehan sedia ada seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Melaka bentang Belanjawan 2021 berjumlah RM520.86 juta