X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka bentang Belanjawan 2021 berjumlah RM520.86 juta

Sulaiman semasa membentang Bajet 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka pimpinan Perikatan Nasional (PN) buat pertama kalinya membentangkan Belanjawan 2021 berjumlah RM520.86 juta membabitkan bajet keseluruhan berjumlah RM445.86 juta, manakala RM75 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika membentangkan belanjawan itu berkata, perbelanjaan mengurus sebanyak RM445.86 juta itu meningkat 14.32 peratus berbanding RM390 juta pada tahun lalu manakala perbelanjaan pembangunan naik 7.14 peratus atau RM5 juta pada 2020.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu berkata, daripada bajet keseluruhan RM445.96 juta, sebanyak RM177.54 juta diperuntukkan di bawah perkhidmatan dan bekalan (40.69 peratus), RM142.40 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap (32.63 peratus).

Selain itu, sebanyak RM111.87 juta diperuntukkan untuk emolumen (25.64 peratus), RM3.97 juta bagi aset (0.91 peratus) dan RM0.59 juta bagi perbelanjaan-perbelanjaan lain (0.13 peratus), manakala RM9.48 juta (2.13 peratus) bagi maksud tanggungan.

"Di bawah anggaran perbelanjaan pembangunan berjumlah RM75 juta, sebanyak RM53.74 juta merupakan sumber hasil negeri, RM21.26 juta merupakan pemberian geran bertahap oleh kerajaan Persekutuan dan pindahan daripada akaun pinjaman disatukan sebanyak RM20 sebagai token.

"Demi menjamin perkhidmatan berkualiti kepada semua kelompok rakyat hingga ke akar umbi, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) terus diperkasa. Untuk 2021, kerajaan negeri memperuntukkan RM14.50 juta," katanya.

Beliau membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Undangan Negeri Melaka bertemakan Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Sulaiman berkata, walaupun belanjawan pada kali ini bukan seperti biasa berikutan berdepan dugaan besar yang tidak pernah ditempuhi sehingga menyebabkan kerajaan negeri berdepan kutipan hasil dan ekonomi yang tidak menentu, namun, selaras dengan slogan Melaka yang meletakkan perkataan ‘rakyat’ sebagai roh utama, kerajaan negeri akan mengutamakan kepentingan setiap insan di Melaka.

"Saya rasai keperitan yang dihadapi rakyat Melaka. Sebagai tanda prihatin kami, bermula Januari hingga Disember 2021, saya dan semua barisan exco kerajaan negeri telah sepakat bersetuju untuk memotong gaji bulanan sebanyak 10 peratus selama setahun. Wang itu nanti akan dimasukkan ke Tabung Bencana Negeri Melaka untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

"Melangkah ke hadapan, pada hemat saya, Belanjawan 2021 ini seharusnya mengambil kira aspek perencanaan strategik, menjurus kepada ‘Big Plan, Bold Action and Faster Result.’ Ini termasuklah mengoptimumkan perbelanjaan, mengeksplorasi hasil sumber baharu dan memperkasa agensi serta syarikat berkaitan kerajaan negeri," katanya.

Sulaiman berkata, Belanjawan 2021 akan berpaksikan misi negeri Melaka yang terbaharu berasaskan TERAS iaitu teknologi, entrepreneurship (keusahawanan), revolusi industri dan ekonomi, antarabangsa dan sejahtera.

Katanya, 12 strategi telah direncana bagi merealisasikan misi berkenaan iaitu menyediakan insentif impak pandemik Covid-19, memperluaskan inisiatif pintar, meluaskan aplikasi, membangunkan ekonomi rakyat, menggalakkan pelaburan berimpak tinggi, merancakkan sektor pelancongan, memperhebat institusi pendidikan, memperkukuh kerajaan tempatan, meneruskan insentif kebajikan rakyat, menyantuni isu-isu rakyat dan memperkukuh institusi perekonomian Islam.

Beliau turut mengumumkan berita gembira kepada seluruh penjawat awam negeri iaitu Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam sebanyak setengah bulan gaji atau maksimum RM1,000 yang akan dibayar pada bulan ini sebagai menghargai perkhidmatan mereka. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!