X

Kindly register in order to view this article
!

Kenapa selesai kes luar mahkamah?

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah.
A
A

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London. Clare turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi.

Terma penyelesaian

Laporan berita tidak menyebut terma perjanjian penyelesaian tersebut kerana kedua-dua pihak terikat dengan persetujuan kerahsiaan. Tiada perintah dibuat oleh mahkamah tentang kos guaman untuk kedua-dua pihak.

Perihal kes

Abdul Hadi telah memfailkan kes saman fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London ekoran dari sebuah rencana yang beliau tulis yang disiar oleh Sarawak Report pada 6 Ogos 2017.

Rencana tersebut, antara lainnya menyebut Umno telah menyalurkan kurang lebih RM90 juta ke dalam akaun peribadi beberapa pemimpin kanan Pas sebagai sogokan untuk menyokong dan bekerjasama dengan Umno dan BN.

Dalam saman balas Clare ke atas Abdul Hadi, beliau mendakwa Hadi bersekongkol dengan mantan Perdana Menteri, Najib Razak untuk mencemar kredibiliti dan nama baiknya serta Sarawak Report.

Setelah memfailkan pernyataan pembelaannya, Clare membuat beberapa permohonan awal (interlocutory proceedings) untuk meminda pernyataan pembelaan dan memohon pembicaraan berasingan kepada permohonan tersebut dari pembicaraan kes utama.

Namun mahkamah menolak permohonan tersebut kerana ia akan mengakibatkan tertundanya pembicaraan kes utama. Oleh itu makhamah telah memerintahkan Clare, sebagai pihak yang membuat permohonan membayar kos kepada Hadi sebanyak £28,900 (RM156,017).

Ekoran keputusan itu, Abdul Hadi dan pendokongnya membuat berbagai dakwaan dan memberi gambaran seolah-olah beliau telah menang dalam kes utama. Sedangkan hakikatnya mahkamah tidak mendengar atau menyentuh langsung tentang tuntutan dan pembelaan kes utama. Mahkamah menetapkan pembicaraan penuh kes utama pada April 2019.

Bagi yang mempercayai bulat-bulat penjelasan dibuat pemimpin Pas tentang keputusan tersebut, mereka perlu bertanya jika benar Abdul Hadi sudah menang dalam kes utama terhadap Clare, mengapa tarikh pembicaraan penuh masih ditetapkan pada April 2019 dan mengapa pula Abdul Hadi menarik balik saman tersebut?

Perlu diingati selain Clare, ada beberapa pihak lain yang membuat dakwaan sama ke atas Pas.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa bukan sahaja menyebutkan perkara sama tetapi ikut mendakwa beliau telah melihat sendiri bukti penyaluran wang RM90 juta tersebut ke akaun beberapa pemimpin kanan Pas.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga bukan sahaja membuat satu akuan bersumpah tentang perkara sama tetapi ikut mendakwa bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Nasharuddin Mat Isa menerima wang haram dari 1MDB. Rafizi juga mencabar Pas membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang ke atasnya jika itu adalah fitnah semata-mata.

Seperti di masa-masa silam bilamana Hadi dan pemimpin-pemimpin Pas dicabar atau rasa tercabar, mereka akan melenting dan mengancam akan mengambil tindakan mahkamah keatas pemfitnah. Namun setakat ini tidak ada apa-apa tindakan makhamah yang telah diambil Pas ke atas Husam ataupun Rafizi.

Selepas PRU14, bilamana Umno dan BN tewas mengejut di tangan PH, Abdul Hadi dan panel penasihatnya mula menyebut kemungkinan menarik balik saman tersebut dan mencari penyelesaian di luar mahkamah.

Mengikut perhitungan kewajaran politik, langkah memulakan saman fitnah tersebut yang dibuat di London, telah awal-awal lagi dipersoalkan. Ia satu langkah berisiko tinggi kerana kemenangan belum tentu terjamin dan kos guaman yang tinggi. Apa yang pasti, banyak fakta atau cerita-cerita menjengkelkan akan terdedah sehingga mungkin akan memudaratkan Pas. Perlu juga difikirkan Clare mungkin mempunyai bukti kukuh untuk memberi kejayaan kepadanya.

Oleh itu pemerhati politik tidak terkejut dengan keputusan Abdul Hadi dan Pas untuk menarik balik saman tersebut. Dalam lain perkataan, saman tersebut satu tindakan dan pertaruhan yang tidak bijak, boleh memakan atau memerangkap diri sendiri.

Juga kita mendengar banyak spekulasi menyebut keberanian Pas dalam hal ini adalah kerana Umno berada di belakangnya dengan sokongan kewangan dan sebagainya. Dengan kecundangnya Umno dan BN dalam PRU14, Pas terpaksa bersendirian dalam mencari dana kewangan untuk membayar kos guaman. Dalam keadaan sekarang, ia satu cabaran memeritkan Pas.

Clare Rewcastle-Brown tidak berganjak

Selepas perjanjian penyelesaian tersebut diumumkan, Clare membuat kenyataan dia tetap tidak berganjak daripada dakwaannya sepertimana terkandung dalam rencana asalnya. Dia tetap berpegang teguh kepada setiap apa ditulisnya berkaitan RM90 juta tersebut. Malah rencana tersebut masih berada dalam blognya tanpa apa-apa perubahan ataupun suntingan.

Dia berbangga segala usaha untuk menyekatnya dalam usaha mendedah fakta dan memadamkan rencananya sebelum dan selepas PRU14 gagal. Akhirnya orang ramai dapat mengetahui kebenarannya.

Apa ertinya semua ini?

Semalam, dalam satu kenyataan media, Husam mengucapkan takziah kepada Abdul Hadi dan Pas kerana mengikutnya 'episod ini adalah sebuah tragedi, yang malang. Amat malang. Nama baik sebuah parti yang dulu menjadi pengharapan rakyat telah tercemar'.

Khalid Samad, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan sekarang menteri di bawah Kabinet Tun M juga menyebut penyelesaian kes diluar makhamah bukti dan pengakuan oleh Pas mereka bersekongkol dengan Umno dan BN.

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, bekas Ahli Parlimen Pas Kuala Terengganu dan sekarang Timbalan Menteri Kementerian Perumahan telah menulis semalam dalam Malaysiakini. Antara lain, beliau menyebut:

“Yang paling rugi dan rasa diperdaya adalah anggota dan penyokong Pas yang berkorban harta membiayai RM3 juta kos guaman untuk kes yang mungkin sudah dirancang untuk ditarik balik, kerana risiko terbongkarnya kewangan Pas dan Umno terlalu tinggi.

"Dengan rakaman suara didakwa berkaitan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mengakui Pas menerima wang Umno diakui tulen, peluang untuk parti itu menang sangat tipis."

Akhbar Straits Times telah menyiar satu rencana di bawah tajuk 'Mengapa selesai luar mahkamah? Beritahu yang benar' (Why settle out of court? Come clean).

Finance Twitter pula memuat-turun rencana yang menyebut "2 juta Melayu Islam tertipu-penyelesaian secara persetujuan membukti pemimpin alim, pemimpin kanan Pas menerima wang sogokan RM90 juta". (Two-million-muslims-scammed-court-settlement-proves-holy-man-hadi-took-rm90-million-bribes.)

Dari segi undang-undang, penyelesaian di luar mahkamah yang disusuli oleh perintah persetujuan di antara kedua-dua pihak bermakna tidak ada pihak yang menang atau yang kalah. Namun Clare mungkin beranggapan dia telah menang dari segi moral kerana yang memulakan saman ialah Abdul Hadi, dan yang mengambil initiatif menarik balik saman juga adalah Abdul Hadi.

Tetapi dari segi persepsi yang berlegar dalam benak kepala rakyat, mereka mungkin akan membuat andaian yang tidak menguntungkan Pas. Dalam dunia politik, sering kali persepsi adalah lebih hebat kesannya dari fakta atau kebenaran. Abdul Hadi dan Pas mungkin terpaksa mengambil sikap yang lebih defensif selepas ini.

Sementara itu ada pihak-pihak tertentu telah menularkan di media sosial apa yang didakwa sebagai sebahagian dari terma-terma perjanjian penyelesaian. Dokumen berkenaan telah menamakan beberapa pemimpin kanan yang kononya bergaya dengan hidup mewah dari hasil sumbangan RM90 juta tersebut. Kita tidak tahu sejauh manakah kebenaran dakwaan ini.

Dalam satu video lain pula yang ikut ditularkan di media sosial sekarang ini, terdapat paparan di mana Abdul Hadi dalam satu majlis dailog dengan masyarakat Cina baru-baru ini telah berkata bahawa jika beliau menarik balik saman fitnah terhadap Clare, maka ianya bermakna dakwaan wanita itu tentang pemimpin kanan Pas menerima RM90 juta dari Umno adalah benar.

Pas pastinya akan memberi alasan dan hujjah untuk menjelaskan isu-isu berkenaan sepertimana mereka memberikan huraian tentang keputusan 'interlocutory proceedings' tersebut di atas. Mereka berhak untuk membela diri.

Dalam keadaan begini dan demi untuk mencari kebenaran dan mewujudkan keadilan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya kepada Abdul Hadi, pemimpin-pemimpin kanan Pas yang ikut terpalit, Pas di satu pihak dan Clare, Husam, Rafizi antaranya dipihak yang lain, maka adalah menjadi tanggung-jawap pihak yang berkuasa untuk menyiasat kes dengan telus dan terperincinya.

Umumkan kepada rakyat hasil siasatan dan tindakan susulan. Rakyat tidak mahu yang melaku kesalahan atau yang menyebar fitnah diberi perlindungan dan layanan istimewa. Malaysia Baharu menuntut keadilan mengikut keluhuran undang-undang (rule of law).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf