Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14

Saarani
Saarani
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan serta menandatangani watikah pelantikan berlangsung di Balai Istiadat Kecil Istana Iskandariah di sini pada jam 11 pagi tadi.

Sultan Nazrin memberi perkenan perkara itu selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.

Pada pertimbangan baginda, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani tiba di Istana Iskandariah

Saarani MB Perak yang baharu

Saarani, 59, yang memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping hitam hadir diiringi isterinya, Datin Aezer Zubin.

Setelah membaca ikrar angkat sumpah jawatan di hadapan baginda, Saarani kemudian menandatangani dokumen berkenaan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim.

Artikel Berkaitan:

Antara pemimpin politik yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Upacara itu diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharuddin.

Saarani dipilih menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 5 Disember lepas setelah gagal mendapat sokongan menerusi usul undi percaya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Jumaat lepas.

Pelantikan Saarani mengisi senarai Menteri Besar Perak bersama 11 yang lain iaitu Datuk Seri Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz (1948-1957), Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi (1957-1960), Datuk Seri Shaari Shafie (1960-1964) dan Datuk Seri Ahmad Said (1964-1970).

Datuk Seri Kamaruddin Mohd Isa (1970-1974), sebelum Mohamed Ghazali sekali lagi dilantik selama empat tahun dari 1974 hingga 1977, Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh (1977-1983), Tan Sri Ramli Ngah Talib (1983-1999), Tan Sri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali (1999-2008), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (2008-2009) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (2009-2018).

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Ahmad Faizal yang merupakan Pengerusi PH Perak dilantik Menteri Besar Perak ke-12 sebelum meletak jawatan pada 9 Mac 2020 susulan penjajaran politik dan kemudian dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak ke-13 dengan memimpin kerajaan PN sebelum meletak jawatan pada 5 Disember lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Nazrin perkenan Saarani sebagai MB Perak

Saarani: Bermula sebagai pendidik, kini Menteri Besar