X

Kindly register in order to view this article
!

Kerja ‘atas' air, ulang alik 100 kali sehari

Walaupun berulang alik lebih 100 kali sehari, Suhairy tidak pernah jemu mengemudi bot tunda dan feri untuk membantu orang ramai ke Pekan Tanah Merah dan Kuala Krai.
A
A

KUALA KRAI – Hujan dan panas bukan halangan kepada seorang lelaki di sini menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin mengemudi feri menyusuri Sungai Nal bagi membantu ribuan penduduk di Kampung Pasir Kelang ke Pekan Tanah Merah dan Kuala Krai.

Sanggup berulang alik lebih 100 kali sehari, itulah tugas Suhairy Che Yusoff, 39, setiap hari seawal jam 7 pagi hingga ke 11 malam.

Lebih setahun mengemudi bot tunda dan feri, ia merupakan pengalaman yang cukup berharga buat bapa kepada tiga cahaya mata itu walaupun sering berdepan saat getir terutamanya di musim tengkujuh dan berangin.

Katanya, walaupun tugas tersebut nampak mudah, namun ia tetap mempunyai cabaran tersendiri walaupun jarak lintasan sungai tersebut hanyalah sejauh 250 meter.

“Nampak mudah, tapi mengemudi bot tunda dan feri ini perlukan kecekapan memandangkan Sungai Nal ini mempunyai laluan angin tersendiri. Kita perlu bijak mengatur arah supaya semuanya selamat,” katanya.

Feri di Jeti Sungai Kelang beroperasi seawal jam 7 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan harga tambang yang berpatutan.
Feri di Jeti Sungai Kelang beroperasi seawal jam 7 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan harga tambang yang berpatutan.

Suhairy turut dibantu dua rakan lain dalam satu-satu masa dan feri tersebut juga boleh memuatkan tidak lebih enam buah kereta dan motosikal, selain tambang yang dikenakan berpatutan.

Makan dan minum di atas bot bukanlah sesuatu yang pelik bagi Suhairy dan dia hanya akan berhenti rehat bila tiba waktu untuk menunaikan solat fardu.

Katanya, walaupun hanya bekerja ‘di atas' air setiap hari, namun dia tidak pernah jemu berkhidmat bagi memastikan pengguna dapat tiba ke lokasi dengan selamat, terutamanya mereka yang mahu ke hospital dan sebagainya.

“Tiada apa yang bermakna selain ucapan terima kasih mereka (penumpang), ini sahaja yang mampu kita tolong, walaupun bantuan ini tidaklah seberapa,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!