Konon disamun, padahal nak tuntut insurans

No Image Caption
A
A
A
BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang pengurus pemasaran kerana membuat laporan palsu kononnya disamun sehingga kerugian puluhan ribu ringgit semata-mata untuk menuntut insurans.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan semalam selepas siasatan mendapati laporan yang dibuatnya mengelirukan.

“Menurut lelaki itu, semasa dia berada di rumahnya di Kampung Baru pada Ahad, dua lelaki menaiki sebuah motosikal menyamunnya semasa sedang memasukkan barang ke dalam kereta.

“Mereka melarikan sebuah beg miliknya. Lelaki itu mendakwa terdapat beberapa barangan seperti telefon bimbit jenis iPhone, komputer riba dan tablet berjenama dalam beg yang dilarikan suspek, semuanya bernilai RM11,000,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, polis dalam siasatannya mendapati lelaki yang bekerja di sebuah syarikat antarabangsa terbabit sebelum itu menjual barangan berkenaan kepada pembeli menerusi laman sosial.
Artikel Berkaitan:


“Siasatan juga mendapati lelaki itu membuat empat laporan palsu polis konon disamun membabitkan kerugian puluhan ribu ringgit sejak dua tahun lepas dan membuat tuntutan insurans,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis juga telah merampas semula beberapa barangan yang sebelum ini dilaporkan hilang oleh lelaki itu di rumah ibunya di Bukit MertaJam dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Lelaki itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes,” katanya. - Bernama