Industri minyak sawit manfaatkan pengecualian duti eksport RM325.2 juta

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

NILAI pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri minyak sawit negara ialah sebanyak RM325.2 juta setakat 27 November 2020, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Antara manfaat daripada langkah cukai ini secara langsung akan dapat membantu memudahkan para pekebun kecil untuk menjual hasil keluaran mereka kepada kilang-kilang," jelas beliau.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan laporan ke-32 Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) di sini hari ini.

Kerajaan telah memperkenalkan pengecualian duti eksport sehingga 100 peratus ke atas industri berasaskan minyak sawit bagi merangsang pertumbuhan sektor komoditi dan nilai eksport negara.

Sementara itu, nilai pengecualian cukai perkhidmatan yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah nilai RM836.6 juta setakat 27 November peningkatan daripada RM727.4 juta minggu lalu.

Sebagai langkah memastikan sektor pelancongan dan perhotelan dapat bertahan dan kembali pulih seperti sediakala, kerajaan telah bersetuju melanjutkan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang dikendalikan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021, kata beliau.

Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan merangkumi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya.

Kedua-dua inisiatif ini telah pun bermula dan akan tamat pada 30 Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM350 juta telah diperuntukkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank daripada jumlah peruntukan RM400 juta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan makanan.

Sehingga 27 November 2020, sebanyak RM53 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 5,534 perusahaan mikro, kecil dan sederhana di dalam negara.

Mengenai Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN) pula, Menteri Kewangan itu berkata, proses semak silang permohonan baharu dan rayuan juga sedang dijalankan dan yang pembayaran bagi mereka yang lulus akan dibuat dalam bulan Januari 2021. - Bernama