5,000 penjawat awam di Melaka dapat bantuan khas

Sulaiman (kanan) semasa membentang Bajet 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, hari ini. Foto Bernama
Sulaiman (kanan) semasa membentang Bajet 2021 pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka akan menyalurkan bantuan khas kewangan kepada kira-kira 5,000 penjawat awam di negeri ini bermula bulan ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pemberian itu akan dilakukan bersamaan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar secara dua peringkat bermula Disember ini dan Januari depan.

Menurutnya, insentif yang ditawarkan itu sebagai kesetiaan golongan terbabit menerusi tonggak 5K iaitu 'Komunikasi, Kolaborasi, Koordinasi, Kompetensi dan Kongsi Matlamat Bersama' yang menjadi pegangan penjawat awam di Melaka, sekali gus sebagai pemangkin semangat kepada golongan itu untuk memperhebatkan kecekapan dan perkhidmatan mereka.

"Kerajaan negeri memberi peruntukan itu sebagai penghargaan kepada golongan berkenaan.

"Selain itu mereka akan mengikuti kursus profesional jangka pendek dengan badan-badan latihan diiktiraf," katanya ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2021 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut menitipkan nasihat dalam dialek Minang kepada golongan kerajaan agar melayani rakyat dengan cara berhemah dan berlembut.

"Saya nak 'kabau' (khabar) sikit, janganlah 'kahau' (cakap kasar) ketika melayan rakyat Melaka. Tak usah masam-masam muko (muko) kerana nan diseru nan dipinta, nan ditunggu sudah pun tiba," katanya.

Pada masa sama, Sulaiman turut mengumumkan insentif kepada rakyat negeri ini berjumlah RM55 juta termasuk bantuan one-off dan bayaran sagu hati seperti nelayan dan pengayuh beca dan pengecualian cukai serta lesen.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bertepatan dengan sembilan bulan usia kerajaan negeri di bawah kepimpinannya, beliau berkata, bayi yang dilahirkan pada hari ini bermula 12 tengah malam tadi sehingga pukul 11.59 malam ini akan diberikan saguhati iaitu wang tunai bernilai RM150.

"Kita juga akan meneruskan pemberian kepada semua bayi yang lahir di negeri ini melalui Akaun SSPN-i berjumlah RM50," katanya.