Pelancong buang sampah merata tidak terlepas tindakan, mungkin disenarai hitam

Seramai 261 individu dikenal pasti melakukan kesalahan membuang sampah kecil, termasuk 75 daripadanya merupakan warga asing. Khalid Mohamed (Gambar kecil)
Seramai 261 individu dikenal pasti melakukan kesalahan membuang sampah kecil, termasuk 75 daripadanya merupakan warga asing. Khalid Mohamed (Gambar kecil)
A
A
A

MELAKA - Pelancong yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat tidak sepatutnya tidak terlepas daripada tindakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, sehingga Jumaat lalu seramai 261 individu dikenal pasti melakukan kesalahan itu, termasuk 75 daripadanya merupakan warga asing.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menambah baik proses pelaksanaan tindakan terhadap kumpulan itu bagi mengelakkan mereka terpaksa tinggal terlalu lama di negara ini sementara menunggu perbicaraan.

“Kadang-kadang mereka sudah mempunyai perancangan sendiri.

“Walaupun ada pelancong yang telah pulang, namun kami mempunyai kontak untuk berhubung dengan mereka.

“Ada antara mereka yang bersedia untuk datang semula bagi menghadapi proses perbicaraan,” katanya ketika mengulas pelaksanaan Akta 672 terhadap pelancong asing.

Beliau ditemui pada Program Sambutan Hari Habitat Sedunia dan Hari Konservasi Hutan Simpan Paya Laut Edisi Eksekutif Negeri Melaka 2026 di Jeti Nelayan Sebatu, Merlimau pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata kaedah dan hukuman bagi kesalahan itu adalah sama terhadap warga tempatan mahupun pelancong asing.

“Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000. Sekiranya enggan membayar denda, mereka boleh dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Jika masih ingkar, denda lebih berat boleh dikenakan antara RM2,000 hingga RM10,000,” katanya.

Tambah beliau, SWCorp turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengambil tindakan terhadap pelancong yang ingkar dan gagal hadir ke mahkamah.

“Nama mereka akan disenaraikan kepada pihak imigresen dan berdasarkan rekod, mungkin mereka boleh dilarang masuk ke negara ini pada masa hadapan.

“Selain itu, hasil perbincangan bersama JIM, sekiranya kami menerima maklumat bahawa mereka masuk semula ke dalam negara, kami boleh menjemput individu berkenaan di pintu masuk negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kertas siasatan telah disediakan dan sebahagiannya sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Selaik itu, terdapat kes yang telah didaftarkan di mahkamah dan kini menunggu tarikh perbicaraan.

Katanya, di Melaka sahaja, seramai 20 individu dikesan melakukan kesalahan sama, terdiri daripada 14 warga tempatan dan enam warga asing.

Ringkasan AI

  • Pelancong buang sampah merata tidak terlepas tindakan, mungkin disenarai hitam
  • Sehingga Jumaat lalu seramai 261 individu dikenal pasti melakukan kesalahan itu, termasuk 75 daripadanya merupakan warga asing
  • Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau Perintah Khidmat Masyarakat sehingga 12 jam
  • SWCorp bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengambil tindakan terhadap pelancong ingkar
  • Di Melaka, 20 individu dikesan melakukan kesalahan membuang sampah, terdiri daripada 14 warga tempatan dan enam warga asing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!