120,296 daripada 372,934 pencari kerja dapat pekerjaan

M Saravanan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
M Saravanan ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) merekodkan seramai 120,296 orang daripada 372,934 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, mengikut data yang dilaporkan oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula, mendapati seramai 99,696 orang telah diberhentikan kerja sehingga 27 November lalu.

"Negara telah melalui tujuh bulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran pandemik Covid-19. Sejak 10 Jun 2020, PKP Pemulihan telah membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum.

"Pada masa yang sama, pelbagai pakej rangsangan telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi termasuk pasaran buruh.

"Oleh yang demikian, penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh walaupun pada tahap sederhana.

"Perkara ini dicerminkan oleh pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun 2020, serta kadar pengangguran yang menunjukkan trend penurunan," katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta KSM menyatakan berapa jumlah pekerjaan yang terjejas ekoran PKPB kali kedua yang bermula 14 Oktober 2020 lalu dan sejauh mana pelaksanaan PKPB ini memberi impak kepada industri pekerjaan dan ekonomi buruh secara menyeluruh.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Saravanan turut memberitahu kadar pengangguran Malaysia ketika ini telah mencatatkan trend menurun.

Artikel Berkaitan:

"Adalah dijangka bahawa kadar pengangguran pada Disember 2020 akan melihat penurunan kepada 4.5 peratus dan trend penurunan kadar pengangguran ini akan berterusan ke tahun 2021," katanya.